Rabu, 23 Mei 2018

Shukri perlu henti serangan awam - Ramkarpal

Sinar Harian
Shukri perlu henti serangan awam - Ramkarpal
Semalam, Mohd Shukri mendakwa menerima tekanan yang cukup kuat ketika menyiasat anak syarikat 1MDB iaitu SRC International. - Gambar fail
 
 
SHAH ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull digesa menghentikan kenyataan dan serangan awam yang membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, ini kerana kenyataan tersebut dikhuatiri boleh mengganggu siasatan kes 1MDB.

Menurut Ramkarpal, adalah lebih baik sekiranya Mohd Shukri membuat laporan polis berhubung dakwaannya termasuk menerima ancaman ketika menyiasat skandal 1MDB pada 2015.

“Walaupun saya bersimpati dengan nasibnya, Mohd Shukri perlu sedar bahawa kenyataan awam sedemikian boleh menjejaskan penyiasatan semasa 1MDB yang sedang dijalankan.

"Ia boleh menyebabkan sangkaan bahawa siasatan beliau sekarang mungkin berkaitan dengan gangguan yang beliau terima dahulu.

“Tindakan ini berpotensi menyebabkan ketidakadilan dan melanggar keadilan pendakwaan kepada pihak yang dituduh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setiap suspek dalam siasatan 1MDB oleh SPRM mempunyai hak untuk disiasat secara adil.

BACA: Mohd Shukri anggap tugas di SPRM satu tanggungjawab berat

BACA: Transkrip penuh sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM

VIDEO: Pembongkaran 1MDB oleh Datuk Seri Mohd Shukri Abdull


Semalam, Mohd Shukri dalam satu sidang media mendakwa menerima tekanan yang cukup kuat ketika menyiasat anak syarikat 1MDB iaitu SRC International membuatkannya mencari perlindungan di Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut mendedahkan menerima ugutan bunuh dan terpaksa mendapatkan perlindungan di AS.

Tiada ulasan: