Ahad, 20 Mei 2018

Selepas saman Musa, gabenor Sabah lapor polis

 
Juhar Mahiruddin dipercayai membuat laporan polis terhadap Musa Aman.


Pesuruhjaya polis Sabah mengesahkan Juhar Mahiruddin ada membuat laporan polis. (Gambar Facebook)


KOTA KINABALU: Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dipercayai membuat laporan polis terhadap bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, malam tadi.

Ketika dihubungi di sini hari ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan laporan polis itu, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran laporan berkenaan.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lepas selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian (12 Mei), selepas beberapa adun BN berpaling tadah kepada Warisan.

Enggan meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Sabah, Abinan Asli pada 14 Mei menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa, beliau bukan lagi ketua menteri.

Susulan itu, Musa pada 17 Mei lepas memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Juhar dan Shafie memohon pengisytiharan untuk kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Tiada ulasan: