Ahad, 20 Mei 2018

Royalti minyak: MB Terengganu tunggu masa sesuai jumpa Dr M

 
Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan jaminan Dr Mahathir untuk menyalurkan 20% royalti minyak kepada kerajaan negeri dan ia sesuatu yang sangat positif dalam hubungan kerajaan negeri dan persekutuan.





KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kaedah penyaluran royalti minyak dan gas kepada rakyat negeri itu.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jaminan Dr Mahathir itu sangat dialu-alukan dan beliau menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu sebagai sesuatu yang sangat positif dalam hubungan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Saya mewakili rakyat Terengganu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada perdana menteri atas jaminan berhubung penyaluran royalti minyak itu,” katanya selepas meninjau Bazar Ramadan Batu Enam di sini, hari ini.

Isu royalti minyak dan gas Terengganu terus menjadi perhatian ramai, apabila Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini berjanji akan menyalurkan royalti sebanyak 20% kepada negeri pengeluar hasil bumi itu.

Mengenai kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang menegaskan rakyat Terengganu tetap menerima manfaat royalti itu, namun ia tidak diberi secara terus kepada kerajaan negeri pimpinan PAS ketika ini, Samsuri berkata, itu hanyalah pandangan peribadinya.

Mengenai kewajaran meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, Samsuri berharap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkannya lebih serius, dengan mengambil kira impak positifnya terhadap ekonomi dan rakyat Terengganu.

“Bagi saya, projek ini wajar diteruskan kerana ia boleh menjana pertumbuhan ekonomi negeri terutama di kawasan yang akan terlibat sebagai hentian laluan kereta api ini.

“Saya berharap projek baik seperti ini akan diteruskan, asalkan tidak memberi bebanan kepada negeri dan rakyat negeri.”

Tiada ulasan: