Khamis, 24 Mei 2018

Profesor UM gesa Putrajaya paksa keluar bos GLC yang enggan berhenti

 
Syarikat Perumahan Negara Bhd menunggu arahan, sementara Syed Ali Al-Habshee menunggu untuk selesaikan serah tugas pengerusi Perbadanan Nasional Bhd secara betul. 


Jangan tangguh reformasi, kata profesor UM Terence Gomez. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Seorang ahli akademi berkata kerajaan baru patut tamatkan kontrak atau pelantikan ketua dan ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang belum meletak jawatan, dalam usaha ke arah reformasi.

Terence Gomez dari Universiti Malaya terkejut ramai orang seperti itu belum meletak jawatan tapi dia menjangkakan mereka mahu dipaksa keluar oleh kerajaan baru.

“Ada dakwaan tentang rasuah yang serius di GLC termasuk Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera antara lain.”

Gomez berkata kerajaan Pakatan Harapan mesti dengan segera melaksanakan reformasi di GLC, bermula dengan menyiasat dakwaan rasuah.

“Saya terkejut belum ada apa-apa dilakukan setakat ini. Ada banyak kerja perlu dilakukan kerana terdapat ribuan syarikat dengan struktur berbeza jadi reformasi tidak boleh ditangguh,” katanya, dan menambah 7 dari 10 syarikat yang tersenarai ialah GLC.

“Syarikat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional, Tabung Haji, Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan Kumpulan Wang Persaraan mesti direformasikan segera kerana institusi-institusi ini mempunyai impak langsung ke atas rakyat.”

Tinjauan mendapati ramai pegawai tertinggi GLC memberikan alasan masih menunggu pengganti mereka.

Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, seorang pemimpin Umno Cheras, berkata dia belum meletak jawatan kerana mahu selesaikan serah tugas secara betul.

“Kontrak saya sehingga 2019 tetapi kita ada kerajaan baru, jadi adillah jika mereka mahu orang lain jadi pengerusi, saya sedia berundur. Saya belum letak jawatan kerana saya ada tugas sebagai pengerusi,” katanya.

“Sebaik sahaja Kementerian Kewangan memaklumkan mereka sudah ada pengganti, saya akan selesaikan serahan tugas dan letak jawatan. Saya tidak mahu tinggalkan syarikat ini tanpa menyerahkan tugas secara betul.”

Seorang jurucakap di Syarikat Perumahan Negara Berhad berkata status quo dikekalkan sementara menunggu arahan Kementerian Kewangan.

Antara pertubuhan terkenal yang diduduki ahli Umno di jawatan tertinggi adalah:
  • UDA Holdings Berhad
    Lembaga pengarah – Mohd Shafei Abdullah, ketua Umno Wangsa Maju
    Rizuan Ab Hamid (Umno Kepong)
    Mustaffar Kamal Abdul Hamid (Umno Indera Mahkota).
  • Amanah Raya Berhad
    Pengerusi – Sabaruddin Chik, bekas setiausaha agung Umno
    Lembaga pengarah – Budiman Mohd Zohdi, bekas ahli Parlimen Sungai Besar
  • Syarikat Perumahan Negara Berhad
    Pengerusi – Abd Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Mersing
  • Perbadanan Nasional Berhad
    Pengerusi – Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, ketua Umno Cheras
Awal hari ini, pemimpin tinggi DAP Lim Kit Siang berkata semua lantikan politik, sama ada di Dewan Negara atau di badan awam, harus meletak jawatan dalam tempoh masa 2 minggu sejak pilihan raya supaya pelantikan baru boleh dibuat.

Pengerusi Felda Datuk Seri Shahrir Samad meletak jawatan selepas ditewaskan di Parlimen Johor Bahru, sementara Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin mengumumkan dia akan meletak jawatan sebagai pengerusi Felcra pada hujung bulan ini.

Tiada ulasan: