Ahad, 20 Mei 2018

PM Singapura Hsien Loong kunjungi Dr Mahathir di Putrajaya

malaysia gazette
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menerima lawatan dari Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong (kiri) di Yayasan Kepimpian Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2018.
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menerima lawatan dari Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong (kiri) di Yayasan Kepimpian Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 
 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini, pemimpin ASEAN yang kedua mengunjungi perdana menteri baharu itu selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei.

Pertemuan itu berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF), tempat Dr Mahathir menjalankan tugasnya ketika ini.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah merupakan pemimpin ASEAN yang pertama mengunjungi Dr Mahathir, dalam lawatannya pada Isnin lepas.

Lee dan delegasinya tiba pada 11 pagi, yang telah mencetuskan suasana gamat dalam kalangan begitu ramai pemberita tempatan dan antarabangsa yang telah berkampung di pintu masuk PLF sejak 10 Mei.

Ketibaan Lee di lobi PLF disambut oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia selepas mengetuai gabungan Pakatan Harapan untuk mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14, sekali gus menjadi perdana menteri paling tua di dunia.

Rabu lepas, Lee mengumumkan dalam sidang Parlimen Singapura bahawa beliau akan melakukan lawatan ke Malaysia untuk bertemu Dr Mahathir.

Beliau dipetik oleh Channel NewsAsia sebagai berkata beliau teruja untuk sekali lagi bekerjasama dengan Dr Mahathir demi faedah bersama.

Lee berkata Singapura juga telah bekerjasama dengan Dr Mahathir dan beberapa anggota pasukannya sebelum ini dengan menyiapkan beberapa projek termasuk Link Kedua di Tuas, semasa tempoh terdahulu Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia dari 1981 sehingga 2003.— BERNAMA


Tiada ulasan: