Isnin, 21 Mei 2018

NGO anti-rasuah minta PM jelaskan status bos SPRM

 
Bekas ketua Transparency International dan seorang ahli Parlimen DAP mempertahankan pelantikan Shukri Abdul selepas dikritik kerana tidak di bawa ke Parlimen.





PETALING JAYA: Badan pemantau rasuah menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan status ketua baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull, selepas pelantikannya dikritik kerana tidak mengikut manifesto Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Eksekutif Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata kerajaan PH harus mengotakan janjinya.

Terdahulu Pemuda PAS berkata berkata manifesto PH berjanji pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM mesti di bawa ke Parlimen.

“Walaupun kita memahami SPRM ada keperluan mendesak untuk bertindak ke atas perkara-perkara yang belum selesai, proses dan penelitian sewajarnya mesti ditegakkan seperti yang dijanjikan dalam manifesto,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan pelantikan Shukri tanpa melalui Parlimen sebagai “perlu dan memang difahami”.

Pesuruhjaya kehormat SPRM itu berkata pelantikan Shukri harus dilihat sebagai perkara “teknikal kecil” yang boleh diselesaikan apabila Parlimen bersidang.

“Oleh kerana bekas ketua SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan dan Parlimen belum bersidang, pelantikan Shukri boleh dilihat sebagai langkah sementara. Lagipun, dia layak.

“Pelantikannya boleh dibahas dan disahkan apabila Parlimen bersidang nanti.”

Navaratnam berkata SPRM tidak boleh berfungsi tanpa seorang ketua dan “tugas perlu diteruskan” demi kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula berkata Parlimen belum bersidang dan Pemuda PAs perlu berlaku “adil” pada kerajaan baru.

“Kerajaan baru sudah mengambil alih, jadi kita perlukan masa. Jika kita tunggu Parlimen bersidang, tiada apa yang akan berlaku, jadi langkah ini boleh dilihat sebagai langkah sementara.”

Santiago berkata PAS patut menimbulkan isu ini sekali lagi jika perkara ini tidak dibawa ke Parlimen.
Terdahulu, Shukri melangkah masuk ke pejabatnya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau berkhidmat dengan SPRM selama 32 tahun sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016. Jawatan terakhir beliau adalah timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (Operasi).

Dr Mahathir menamakan Shukri sebagai ketua pesuruhjaya menggantikan Dzulkifli, yang meletak jawatan dan melapor diri untuk bertugas di Jabatan Peguam Negara, di mana dia berkhidmat sebelum ini

Tiada ulasan: