Selasa, 22 Mei 2018

Najib selesai beri kenyataan hari ini…akan sambung pada Khamis

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah selesai memberi keterangan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Namun, beliau berkata akan kembali pada hari Khamis untuk memberi kenyataannya sekali lagi pada hari Khamis.

“…sebahagian besar selesai, akan bersambung pada lusa hari Khamis,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata Najib tidak akan ditahan hari ini sebaliknya hanya akan diambil keterangan terlebih dahulu.

Katanya pihaknya akan mengambil keterangan daripada dua lagi saksi penting sebelum melakukan sebarang penahanan berkaitan kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Sehingga kami mendapat dua saksi yang amat penting, baharulah anda mendapat ceritanya.

Sekarang kes ini di bawah Datuk Seri Azam Baki.

Bergantung kepada bukti dan dokumen, juga bergantung bagaimana beliau (Najib) jawab … jika kami berpuas hati kami boleh melepaskannya, tetapi jika kami masih lagi memerlukan keterangan beliau , kami akan panggil beliau balik,” katanya dalam satu media khas, di sini hari ini.

Shukri berkata, pihaknya menghormati Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan beliau sendiri tidak akan membalas dendam kepada mana-mana pihak.

“Kami mesti menghormati beliau kerana beliau adalah bekas Perdana Menteri kita, saya tidak akan membalas dendam kepada sesiapa tetapi biarlah undang-undang menentukannya,” katanya.

Najib pada sebelah pagi hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tiada ulasan: