Khamis, 24 Mei 2018

Najib hadir ke SPRM bagi keterangan kali kedua

Muhammad Azizul Osman
Najib Razak 
 

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pukul 9.40 pagi ini untuk memberi keterangan kali kedua.

Beliau yang hadir dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire bernombor plat QMN11 diringi masuk oleh pengawal keselamatan SPRM.

Sebaik tiba, beliau memasuki perkarangan SPRM untuk diambil keterangan.

Najib kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke bangunan SPRM sambil melemparkan senyuman dan melambai tangan ke arah wartawan dan jurugambar.

Turut dilihat hadir pagi ini bekas kakitangan PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo.

Kehadirannya dipercayai bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justo tiba di bangunan itu pada pukul 9 pagi.

Jumaat lalu, SPRM bertindak membuka semula kes aliran wang dari SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Malah, kertas siasatan yang berkaitan ketika itu dikembalikan kepada SPRM, selain mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan ditutup.

Najib telah hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan bagi kes itu pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: