Ahad, 20 Mei 2018

MCA bimbang Majlis Penasihat Kerajaan jadi majlis syura PAS

MALAYSIAKINI

   
Pemimpin MCA menyatakan kebimbangan berhubung Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan bagi menasihati kerajaan dan menyifatkan ia tidak berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Biro Agama dan Harmoni MCA Ti Lian Ker dalam kenyataan hari ini mempersoalkan di bawah siapa Majlis Penasihat Kerajaan diletakkan.

"Meskipun bersetuju dengan peranan Majlis Penasihat Kerajaan, kita masih risau jika institusi yang tidak berpandukan perlembagaan ini akan berubah menjadi seperti majlis syura PAS, yang mana 'majlis syura' ini akan mempunyai kuasa yang tidak terhad di dalam kabinet dan parlimen," katanya.

Istilah majlis syura sering digunakan dalam pentadbiran Islam sebagai merujuk majlis mesyuarat negara yang peranan membantu ketua agama Islam melaksanakan pentadbiran. Ia turut diamalkan oleh Khulafah al-Rasyidin.

Salah satu langkah awal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mengangkat sumpah adalah mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada tokoh penting negara.

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan terdiri daripada Tun Daim Zainuddin, bekas gabernor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas penasihat Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican, ahli perniagaan Tan Sri Robert Kuok, dan pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

Dr Mahathir sebelum ini berkata majlis penasihat berkenaan akan membantu kerajaan dalam tempoh sementara dan membantu HARAPAN mencapai janji 100 harinya.

Sementara itu, Ti berkata MCA bimbang tentang 'keperlembagaan, kesahihan dan kuasa' majlis penasihat berkenaan, yang menurutnya perlu dijelaskan atau ditakrifkan.

"Adakah ini satu langkah ke arah mengiktiraf majlis syura PAS yang akan menentukan dasar negara menggantikan kabinet atau eksekutif?

"Adakah kita menyediakan ruang untuk majlis penasihat politik (dalam apa jua nama) untuk mengambil alih atau merampas kuasa kabinet atau institusi yang digariskan dalam perlembagaan?" katanya.

Ti berkata majlis penasihat berkenaan tidak ditakrifkan dalam perlembagaan dan berkemungkinan merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, MCA menyokong sebarang pentadbiran yang cekap.

"Jika HARAPAN mentadbir dengan cekap dan memberi manfaat kepada rakyat, meskipun MCA di barisan pembangkang, kami akan terus sokong usaha, dasar dan pentabiran yang baik," katanya menambah bahawa Umno perlu sedar bahawa era ketuanan Melayu sudah berlalu.

Tiada ulasan: