Khamis, 24 Mei 2018

Lembaga 1MDB akui syarikat tak mampu bayar hutang – Guan Eng

Wartawan MalaysiaGazette
Lim Guan Eng. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MEI 2018
Lim Guan Eng. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 
 

KUALA LUMPUR – Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan bahawa syarikat itu ‘bankrap’ (insolvent) dan telah tidak mampu membayar hutang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bekas Ketua Pegawai kewangannya (CFO), Azmi Tahir juga telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2018 menyatakan 1MDB tidak berupaya membayar faedah yang tarikh akhir pembayaran pada April dan Mei 2018.

Guan Eng berkata, apabila soalan itu diajukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy beliau menyatakan sedang ‘bercuti’ sehingga tamat kontrak pada Jun 2018 dan mendakwa tidak mengetahui situasi kewangan syarikat tersebut.

“Saya kemudian bertanya Lembaga Pengarah apa yang telah berlaku kepada pelaburan dalam bentuk ‘unit’ bernilai AS$940 milik 1MDB Global Investments Limited yang dipegang BSI Bank di Singapura sebelum ini.

“Bersertanya, pelaburan-pelaburan ini bererti bernilai RM9.8 billion yang jika ditebus lebih daripada mencukupi untuk menunaikan obligasi kewangan 1MDB untuk beberapa tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, Lembaga Pengarah yang membekalkan minit mesyuarat Lembaga Pengarah kepada Kementerian Kewangan mendakwa mereka telah berkali-kali mempertikaikan nilai pelaburan itu semasa mesyuarat bulanan diadakan.

“Ini kerana pengurusan 1MDB berkali-kali gagal untuk menyediakan lembaga dengan sebarang bukti ke atas pelaburan tersebut dalam tempoh dua tahun lalu. Datuk Kamal Mohd Ali (Lembaga Pengarah) menyifatkan pelaburan 1MDB ini sebagai penipuan (scam).

Tambah Menteri Kewangan, bagaimanapun bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir menyatakan ‘pelaburan’ tersebut wujud walaupun BSI Bank telah menutup operasinya.

Menurutnya, beliau memberi alasan bahawa pengurus dana enggan berkomunikasi dengan 1MDB dalam bentuk tulisan kerana siasatan yang sedang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Guan Eng berkata Arul Kanda mendakwa semua pekara berkaitan dengan kewangan dikendalikan oleh CFO syarikat itu dan beliau sama sekali tidak pasti nilai ‘pelaburan’ atau sama ada ia wujud.

“Ia sama sekali ‘menakjubkan’ apabila tokoh bank pelaburan berpengalaman dan diupah dengan bayaran yang tinggi tidak mengetahui sama ada pelaburan bernilai RM RM9.8 bilion wujud,” tambah beliau.

Menurutnya, maklum balas Arul adalah mengejutkan dan tidak masuk akal kerana sebelum pertukaran kerajaan, beliau menjelajah ke seluruh negara memberitahu tentang keadaan pelaburan 1MDB yang sihat.

Malah, katanya, jawapan Arul pada hari ini berbeza dengan yang direkodkan hansard Jawatankuasa Akaun Awam.

“Saya mendapati Arul Kanda sama sekali tidak jujur dan tidak boleh dipercayai dan mengarahkan penasihat perundangan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kedudukannya sebagai Presiden 1MDB,” jelasnya.

Menurut Guan Eng, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengambil langkah melantik PwC untuk melakukan audit khas dan menkaji semula 1MDB bagi membolehkan rakyat Malaysia mengetahui perkara sebenar mengenai kedudukan kewangan syarikat itu.

“Kita kemudian akan dapat menentukan kos penipuan kepada pembayar cukai. Kami akan menyerahkan Laporan PwC kepada Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri selepas ia siap,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau telah mengadakan dua mesyuarat berkaitan 1MDB pada petang ini yang turut dihadiri tiga Penolong Perbendahaaran iaitu Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Datuk Asri Hamidon.

Pertemuan pertama ialah dengan Lembaga Pengarah 1MDB yang terdiri daripada Datuk Norazman Ayob dand Dato’ Kamal Mohd Ali.

Mesyuarat keda ialah dengan Presiden 1MDB, Arul Kanda yang diiringi bekas CFO, Azmi Tahir dan bekas Kaunsel Am, Ivan Chen.

Guan Eng berkata, tujuan mesyuarat itu adalah bagi menentukan status kewangan 1MDB, khususnya berkaitan dengan keupayaan membayar semula dan obligasi hutangnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: