Selasa, 22 Mei 2018

Kunci rahsia memulihkan Umno

Al-Abror Mohd Yusuf

   
PULASAN | Di muka laluan masuk Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam. Tahun 1990 ketika itu. Ketika era pondok panas menjadi simbol penting buat penggerak parti-parti politik kerana ia seolah-olah melambangkan kekuatan masing-masing.

Di Parit 21 Sungai Lampam itu ada dua pondok panas. Seratus peratus penduduk di kampung yang terletak kira-kira 16km dari bandar Teluk Intan itu adalah Melayu Islam.

Justeru hanya ada dua pondok panas di pusat mengundi berkenaan. Satu Umno/BN dan satu lagi PAS.

Kelaziman ketika itu ialah seseorang pengundi akan masuk ke salah satu pondok panas berkenaan untuk menyemak nama masing-masing.

Mereka kemudian diberikan sekeping kertas kecil yang mencatatkan saluran mereka sepatutnya berbaris sebelum mengundi.

Di pondok Umno/BN itu petugasnya setia memeriksa senarai nama sesiapa saja yang masuk ke situ dan menyerahkan kad pengenalan masing-masing. Temannya ialah senaskhah buku daftar pemilih, pembaris dan pen.

Di pondok panas yang satu lagi, ia lebih kurang sama juga rutinnya - kecuali mereka menggunakan seunit komputer peribadi yang luar biasa besarnya jika dibandingkan dengan waktu sekarang.

Tak perlu ubah untuk menang

Ia besar, tetapi tetap komputer dan canggih mengikut nilaian pada waktu itu. Data yang diperlukan tersimpan dalam cakera liut berbentuk empat segi sama. Semakan yang dijalankan pantas dan tepat.

Namun keputusannya tetaplah sama seperti "dulu, kini dan selamanya". Kerusi dewan undangan negeri Sungai Manik dan parlimen Pasir Salak itu adalah deposit tetap Umno/BN. Ia kekal sehingga ke hari ini.

Pedulikan orang lain berubah mengikut peredaran masa, Umno sebenarnya tidak perlu berubah untuk menang. Kes di Sungai Lampam itu adalah satu contoh mudah untuk memahami dinamika parti Melayu berkenaan.

Pengundi di negara ini sebenarnya tidak sukakan perubahan. Itu sepatutnya disedari benar oleh pemimpin Umno. Kecuali pada 9 Mei 2018, Umno sudah dibuktikan bahawa mereka tetap berjaya mendapat kuasa dan sokongan rakyat tanpa perlu berubah apa-apa.




Kalau dulu pernah angkuh, terus saja angkuh. Kalau dulu bercakap besar, teruskan bercakap besar. Jika dulu menggunakan kedudukan untuk menebalkan kocek, laksanakan saja seperti biasa. Itulah Umno yang disokong segenap rakyat selama ini.

Pemimpinnya mungkin datang dan pergi, namun pendekatan sedia ada perlu kekal. Mainkan sentimen perkauman, lakukan provokasi, takut-takutkan orang bukan Melayu dan sajikan berita yang muluk-mulut di TV dan akhbar.

Bersimpatilah kepada rakyat marhaen yang bergelut untuk mencari sesuap nasi, tapi pada masa sama selamba saja menyimpan duit berlonggok-longgok di dalam rumah.

Rasa hormat dan takzim kepada ketua pula perlu dipertahankan. Ia adalah lambang adab dan budaya orang Melayu yang wajib dipelihara terutama dalam Umno.

Parti makin kuat

Justeru sangat molek jika Umno kembali ke akarnya dengan mengelak sebarang pertandingan dalam pemilihan akan datang.

Gesaan demi gesaan sesetengah pemimpin yang mahu semua jawatan penting ditandingi sebenarnya sangat tidak wajar dan menyalahi budaya timur dan Melayu.

Jika ada keperluan untuk menukar pemimpin, lakukan secara musyawarah. Ia sudah dilakukan dengan jayanya oleh rakan baru Umno di Dewan Rakyat, iaitu PAS.

Tradisi sebahagian sayap dalam parti itu saban tahun menyaksikan bahawa semua jawatan di peringkat kawasan dan pusat terhindar daripada pertandingan.




Bukankah dengan itu PAS semakin kuat sekarang?

PAS pernah cuba berubah. Daripada parti pak-pak lebai dan kampungan, mereka cuba meneroka pengundi di kawasan bandar dan bukan Islam. Ada perubahan berlaku apabila imej parti itu semakin diterima ramai. Namun PAS akhirnya tersedar bahawa mereka tersilap. Sangat tersilap.

Maka pada 2015 mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan. Mungkin kita melihat parti itu seperti enggan bergerak maju seiring dengan perkembangan semasa. Hakikatnya PAS bukan saja tidak mahu bergerak ke depan malah mereka mengatur tapak ke belakang.

Bukankah dengan itu PAS semakin digeruni sekarang?

Di situ Umno wajib belajar. Semua jawatan daripada serendah-rendahnya sehingga ke pucuk pimpinan - jangan ditandingi. Umno mungkin akan diketawakan, tetapi percayalah, kesipuan yang dialami nanti hanya sementara.

Lagi pun Umno diketawakan ramai bukanlah sesuatu yang aneh, kan?

Fikrah yang serasi

Maka benar sangatlah pandangan Anggota Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan. Beliau faham benar fitrah parti yang berjuang. Apatah lagi bekas timbalan menteri itu ialah salah seorang tokoh kepercayaan Datuk Seri Najib Razak.

Jika Najib boleh membakar semangat anggota Umno dengan kata-kata keramat "sauh dilabuh" dan "layar dikembangkan" Ahmad pula memulihkan rasa terkejut parti itu dengan analogi yang lebih kurang sama, iaitu kapal.




Cuma bezanya Najib menggunakan kaedah melabuhkan sauh dan mengembangkan layar, manakala Ahmad bermetafora dengan kapal yang karam.

Memanglah ada kemungkinan kapal Ahmad itu karam kerana sauhnya tidak diangkat sebelum layarnya dikembangkan. Namun di situ nampak benar keserasian fikrah yang menghubungkan kedua-dua mereka.

Maka elok benarlah pemimpin lain yang lantang bersuara - seperti Khairy Jamaluddin, Mohamad Hassan atau yang seangkatan dengan mereka - menutup mulut. Dengarkan petua orang seperi Ahmad atau Mohd Ali Rustam.

Pedulilah sama ada Najib akan disabitkan dengan apa-apa tuduhan salah laku atau penyelewengan sehari dua ini. Beliau sudah membuktikan kepintarannya mengemudi Umno dan BN berhadapan dengan lawan mereka.

Lihat saja bagaimana liciknya Najib menguruskan isu coklat dan quinoa mengancam kestabilan negara sebelum ini.

Umno tidak perlu berubah sama seperti Najib yang tidak pernah berganjak daripada mempertahankan kemaksuman 1MDB.

Najib dan Ahmad adalah jawapan tuntas untuk kelangsungan perjuagan Umno, sama seperti pentingnya Abdul Hadi Awang dan cendekiawan Dr Zuhdi Marzuki untuk PAS.


*AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menggemari durian berbanding coklat.

Tiada ulasan: