Ahad, 20 Mei 2018

Kerajaan akan bebaskan media – Dr Mahathir


Oleh


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan mahu agar wujud kebebasan media di negara ini.
Tegasnya, beliau tidak boleh menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil sebarang tindakan kepada mana-mana individu atau pihak yang membuat kritikan terhadapnya.

“Kita nak free media. Pihak polis misalnya (telah) mengambil tindakan ke atas seorang individu di Pulau Pinang yang menulis kritikannya terhadap saya. Itu (penahanan) bukan yang kita mahu polis buat.

“Jika ada orang nak buat tohmahan kepada saya, mereka boleh buat. Jika saya tak suka, saya boleh ambil tindakan saman sebagai seorang individu.

“Saya tidak boleh menggunakan kuasa yang ada pada saya menahan sesiapa atau seumpamanya,” kata Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama media Pakatan Harapan di Yayasan Albukhary pada tengah hari.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota masyarakat sivik melahirkan kritikan mereka atas tindakan polis menahan individu terbabit.

Menurut kenyataan bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang dilaporkan Malaysiakini, tindakan itu amat tidak wajar dilakukan di bawah kerajaan baru
“Polis perlu hargai bahawa kita memiliki kerajaan yang baru sekarang.

“Salah satu janjinya adalah untuk membuka ruang demokrasi. Jika dia ditangkap hanya kerana mengkritik PM, maka ia benar-benar bercanggah dengan segala yang telah dijanjikan oleh pentadbiran baru itu.

“Mungkin polis bertindak kerana kebiasaan. Mereka perlu menghapuskan tabiat itu dan sedar bahawa perkara itu sangat berbeza sekarang,” kata beliau. –Roketkini.com


Tiada ulasan: