Isnin, 21 Mei 2018

Henti tanya soalan politik pada pemohon biasiswa, kata Nik Nazmi

 
Beliau menerima aduan daripada pemohon yang mengadu terdapat soalan berbaur politik dalam ujian pemilihan penerima biasiswa.





PETALING JAYA: Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan serta merta soalan berbaur politik dalam ujian pemilihan penerima biasiswa.

Nik Nazmi menerima aduan daripada beberapa pemohon yang mengadu terdapat soalan berbaur politik dalam ujian itu semasa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Menurut aduan itu, antara soalan yang ditanyakan adalah seperti “saya sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan saya”, “saya sokong apa-apa yang dilakukan oleh perdana menteri”, “saya percaya saya tak patut bersifat anti-kerajaan dengan menyokong pembangkang dan “pembangkang mampu gugat kedudukan negara”.

“Menurut pelajar-pelajar itu, setiap ayat tersebut mesti dinilai antara 1 (sangat tidak setuju) hingga 7 (sangat setuju).

“Saya ingin mendapat pengesahan daripada @jpagov sama ada memang ada soalan-soalan tersebut ditanya di dalam ujian tersebut,” katanya di Twitter.

Nik Nazmi berkata proses pemilihan tidak sepatutnya dikaitkan dengan sokongan politik, dan berharap menteri pendidikan baharu, Maszlee Malik, memberikan perhatian kepada aduan ini.

“Semua harus menerima budaya reformasi yang ingin dibawa kerajaan Pakatan Harapan.

Meneruskan amalan lama yang bertentangan dengan politik baru tidak boleh menjadi satu pilihan,” katanya.

Tiada ulasan: