Rabu, 23 Mei 2018

Bersih 2.0 minta umur mengundi diturunkan, umum Parlimen bubar 6 bulan awal

Luqman Hariz, Astro Awani
Bersih 2.0 minta umur mengundi diturunkan, umum Parlimen bubar 6 bulan awal
Shahrul (dua dari kanan) menyerahkan memorandum reformasi institusi Bersih 2.0 kepada wakil Majlis Penasihat Kerajaan. - Astro AWANI
 

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 hari ini mengemukakan memorandum kepada kerajaan, yang diserahkannya menerusi Majlis Pembaharuan Institusi dan Majlis Penasihat Kerajaan.

Wakil pertubuhan itu tiba di Menara Ilham, tempat di mana mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan diadakan setiap hari kira-kira jam 10.30 pagi tadi, walaupun tidak berada di dalam agenda rasmi majlis tersebut hari ini.

“Dalam keadaan fokus dan gerak kerja kebanyakannya telah mula ditumpukan kepada isu 1MDB, Bersih 2.0 menekankan bahawa reformasi pilihan raya juga perlu dimulakan segera.

"Ia bertujuan memastikan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil selaras dengan visi Malaysia baru dalam janji yang dinyatakan oleh kerajaan Pakatan Harapan,” kata Shahrul Aman Mohd Saari, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 kepada media.

Memorandum tersebut menggariskan 19 cadangan reformasi proses pilihan raya serta lima cadangan reformasi proses Parlimen.

Gesaan supaya kepimpinan atasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan menjadi intipati utama reformasi pilihan raya yang diminta persatuan tersebut.

“Walaupun terdapat banyak bukti yang kukuh dan masalah pengurusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, tidak ada satu pun pesuruhjaya mahupun pegawai SPR yang tampil bertanggungjawab.

“Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan timbalannya Tan Sri Othman Mahmood dan lima lagi pesuruhjaya yang lain sehingga hari ini tanpa segan silu memegang jawatan tersebut dan tidak mahu meletakkan jawatan serta mengambil tanggungjawab,” kata Shahrul.

Beliau menambah sekiranya mereka enggan berbuat demikian, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengusulkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyingkirkan mereka daripada jawatan.

Bersih 2.0 turut mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk mengkaji semula semua dakwaan salah laku sepanjang PRU14, dan semua salah laku yang dikesan dirujuk kepada Peguam Negara untuk diambil tindakan undang-undang.

Persatuan itu turut menggesa agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengkoordinasi semua usaha reformasi pilihan raya, di samping langkah diambil untuk meningkat integriti daftar pengundi di masa hadapan.

Ia turut mencadangkan agar undi pos dihapuskan dan diganti dengan undi awal, dan umur layak mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Bersih 2.0 turut mencadangkan agar sekurang-kurangnya 21 hari diberikan untuk tempoh berkempen bagi pilihan raya akan datang, dan meminta agar tarikh pembubaran parlimen diumumkan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum.

Shahrul berkata Bersih 2.0 menyimpan harapan bahawa kerajaan baru akan meneliti semua cadangan mereka, setelah usaha mengemukakan memorandum kepada kerajaan lalu tidak membuahkan hasil.

“Kami dah serahkan kepada Speaker Parlimen sendiri, (Tan Sri) Pandikar Amin Mulia, SPR dan Datuk Paul Low pada 2017.

“Apa yang mereka kata kepada kami adalah cadangan-cadangan ini sangat bagus, tetapi mereka tidak boleh melakukan apa-apa perubahan kerana ia terletak di tangan Perdana Menteri dan kabinet,” katanya.

Majlis Penasihat Kerajaan hari ini memanggil Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin, Datuk Dr Hafsah Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corp, Ir Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros, CEO MATRADE, Datuk Yasmin Mahmood, CEO MDEC serta Datuk Dr Aminuddin Hashim, Pengarah Unit Strategi Kebangsaan Kementerian Kewangan.

Fokus mesyuarat hari ini bagaimanapun, masih belum diketahui setakat ini.

Tiada ulasan: