Selasa, 22 Mei 2018

2 peguam Najib tarik diri

 
Ia berlaku ketika bekas perdana menteri bersedia disoal siasat SPRM hari ini.


Harpal Singh Drewal

KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas perdana menteri, Datuk Harpal Singh Drewal menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Razak.

Harpal mengesahkan perkara itu ketika dihubungi selepas meninggalkan kediaman Najib di Langgak Duta, Taman Duta pada 10.40 malam tadi.

Harpal berkata seorang lagi peguam, M. Athimulan turut menarik diri untuk mewakili bekas perdana menteri itu.

Katanya keputusan itu diambil selepas Najib mengambil keputusan menggunakan khidmat bekas peguamcara negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan 6 lagi rakan guamnya.

“Kami tidak dipecat, tapi kami menarik diri selepas perbincangan pada malam ini,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Najib supaya hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya telah menyerahkan notis kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi ini untuk dirakam keterangan.

Beliau berkata setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati kediaman Najib terus menjadi tumpuan kira-kira 50 pengamal media yang menunggu perkembangan terkini selain orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar di laluan masuk ke kediaman itu yang dikawal polis.

Seramai kira-kira 15 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dari Kampung Datuk Keramat di sini turut memasuki kediaman Najib pada 10.50 malam tadi.

Tiada ulasan: