Khamis, 24 Mei 2018

1MDB SUDAH MUFLIS – GUAN ENG




Kementerian Kewangan hari ini dimaklumkan bahawa syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah muflis dan tidak mampu membayar hutang.

Menterinya, Lim Guang Eng berkata, situasi 1MDB itu didedahkan sendiri oleh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayon dan Datuk Kamal Mohd. Ali ketika memberi penjelasan kepada kementerian hari ini.

Guang Eng berkata, lebih mengejutkan Kamal juga turut memaklumkan pelaburan 1MDB sebanyak RM9.8 bilion sejak dua tahun lalu juga merupakan penipuan.

“Bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir melalui sepucuk surat pada Mac lalu juga memaklumkan syarikat itu tidak mampu untuk membayar kadar faedah yang matang pada April dan Mei ini.

“Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda pula memaklumkan dia ketika ini sedang bercuti sehingga tamat kontrak pada Jun ini dan mendakwa tidak mengetahui langsung mengenai situasi kewangan syarikat,” katanya di Putrajaya, pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendapat penjelasan daripada Norazman, Kamal, Arul, Azmi dan bekas Peguam 1MDB, Ivan Chen mengenai kemampuan syarikat pelaburan berkenaan untuk melangsaikan hutang.

Terdahulu semalam, Guang Eng dalam sidang akhbar pertamanya selaku Menteri Kewangan mengarahkan Arul memberi penjelasan mengenai kemampuan 1MDB dalam membayar hutangnya.

Guan Eng turut mendedahkan, 1MDB tidak pernah membayar langsung hutang pinjamannya, sebaliknya dibayar oleh Kementerian Kewangan sejak April 2017 yang sudah berjumlah RM6.98 bilion setakat ini.



Tiada ulasan: