Isnin, 19 Mac 2018

Terima manifesto jika mahu kerjasama: Hadi Awang

ainulillia

Boleh jadi rakan dalam kerajaan jika PAS jadi 'king maker' selepas PRU14


CYBERJAYA – PAS tidak menolak untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pakatan, asalkan mereka menerima konsep yang dikemukakan dalam manifesto Gagasan Sejahtera (Gagasan).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS berlapang dada untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan sekiranya menang memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, dengan syarat menerima manifesto daripada blok ketiganya.

“Bila PAS jadi ‘king maker’, PAS boleh bekerjasama dengan parti-parti lain, dengan siapa kita nak bekerjasama ini tunggu keputusan PRU, kita tak tahu sama ada menang atau kalah.

“Bagaimanapun, parti yang mahu bekerjasama dengan PAS mesti menerima konsep yang kita kemukakan dalam manifesto untuk jadi rakan dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Malaysia Sejahtera Peringkat Pertama, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya, PAS boleh menjadi ‘penentu’ kepada kerajaan walaupun dengan kemenangan majoriti mudah.

“Dengan ‘simple majority’ itu PAS boleh memilih sama ada untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau pun Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Malam tadi, Gagasan Sejahtera secara rasmi mengumumkan manifesto dengan 20 tawaran utama kepada rakyat.

Manifesto itu membawa matlamat untuk melakukan perubahan bagi memimpin negara, memperbaiki kerosakan, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, masyarakat dan negara.


Tiada ulasan: