Selasa, 20 Mac 2018

Seremban, Nilai digabungkan jadi Majlis Bandaraya Seremban

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengisytiharkan penggabungan secara rasmi Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) menjadi satu pentadbiran, dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pada 21 April depan.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penggabungan itu sempena dengan Seremban yang akan dimasyhurkan sebagai bandar raya pada Januari tahun depan bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71.
 
"Selepas pengisytiharan itu, kami memberikan mereka (MBS) tempoh lapan bulan dari April untuk menyelesaikan operasi pentadbiran, kakitangan dan sebagainya.
 
"Lapan bulan tempoh yang cukup baik bagi mereka untuk membuat penyelarasan dan yang paling penting sekali ialah bagi mereka menggabungkan dua majlis (MPN dan MPS) ini menjadi satu (entiti)," katanya.
 
Mohamad berkata walaupun Seremban sudah lama diberi kelulusan untuk berstatus bandar raya, sejak 2013, beliau menangguhkannya kerana mendapati banyak isu berkaitan dengan masalah dan keperluan rakyat belum diselesaikan.
 
"Apa guna kita melonjak-lonjak mengisytiharkan Seremban (sebagai bandar raya), (jika) longkang pun masih tersumbat. Kena pastikan kemudahan asas diperbaiki.
 
"Bila kita sudah rasa selesa, seperti saya katakan tadi segala keperluan dapat kita penuhkan, masalah rakyat dapat kita selesaikan, barulah kita boleh (isytiharkan)," katanya.
 
MBS dijangka beroperasi di sebuah bangunan yang dulunya merupakan pasar raya besar di Rahang.
 
Unit Kewangan, Teknologi Maklumat (ICT) dan pengurusan akan diletakkan di bawah satu bumbung, manakala Unit Kejuruteraan dan penguatkuasaan akan dipecah-pecahkan supaya lebih efektif di kawasan yang dizonkan.
 
MBS juga akan mempunyai pejabat serantau supaya unit perkhidmatannya berada di kawasan yang hampir dengan kawasan mereka seperti di Nilai, Mantin dan Rantau bagi memudahkan gerak kerja.
 
Pada masa ini, MPN mentadbir daerah Seremban yang terletak di luar seliaan MPS seperti Nilai, Pajam, Labu, Mantin, Lenggeng, Taman Seremban Jaya, Sungai Gadut, Pantai dan Rantau. 
 
 

Tiada ulasan: