Ahad, 18 Mac 2018

PH timbang letak 1% calon OKU, kata Dr M

 
Calon perdana menteri Pakatan Harapan merasakan golongan orang kurang upaya yang fasih berucap dan mempunyai kebolehan politik patut diberi pertimbangan.


Dr Mahathir (tengah) bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan ahli-ahli komuniti OKU di forum hari ini.


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan calon pilihan raya daripada golongan orang kurang upaya (OKU) pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata demikian selepas melihat sendiri kebolehan 2 aktivis OKU berkongsi pentas bersamanya dan berhujah di program Majlis Dialog Negarawan bersama OKU di Subang Jaya hari ini.

“Kalau kita dapat orang berkebolehan saya fikir patut diberi pertimbangan,” katanya kepada hadirin dan aktivis OKU, Mohd Rosli Ibrahim dan Sahmar Saat.

Rosli dan Sahmar aktivis hak asasi OKU yang cacat penglihatan.

“Saya dapati 2 kawan kita ini cukup fasih bercakap! Boleh berucap dengan cara yang cukup licin dan saya fikir dengan kebolehan politik mereka, saya ingat tak apa.”

Pendirian itu mendapat tepukan gemuruh daripada 50 peserta dialog. Sebelum itu, Dr Mahathir ditanya hadirin di progam hari ini tentang kewajaran parti-parti Pakatan Harapan memperuntukkan 1% kerusi kepada orang kurang upaya pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata gabungan itu akan juga mempertimbangkan peranan yang akan dimainkan oleh aktivis-aktivis OKU dalam gabungan itu selepas pilihan raya.

Dua parti komponen PH, DAP dan Amanah pernah mempertaruhkan calon OKU untuk mencabar parti lawan dalam pilihan raya. Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh dari DAP merupakan tokoh politik terkenal dalam politik negara, dan Amanah meletakkan Rapelson Richard Hamit, 30, berdepan calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di DUN Gedong pada pilihan raya Sarawak 2016.

Sementara itu, calon perdana menteri PH itu berkata manifesto gabungan itu masih boleh ditambahbaik supaya lebih holistik kepada golongan OKU selepas mendengar hujah daripada Rosli dan Sahmar.

Beliau kesal penyediaan manifesto PRU14 tidak boleh meliputi semua perkara.

“Saya yakin sepanjang masa kita boleh dapat maklumat daripada OKU tentang apa lagi yang boleh dilakukan oleh pihak pemerintah apabila kita menjadi pemerintah,” katanya.

Dr Mahathir melahirkan rasa tidak puas hati dengan jumlah peruntukan bantuan kepada golongan memerlukan berbanding pendapatan kerajaan.

Beliau berkata PH akan mengkaji semula bantuan kerajaan kepada golongan OKU dan orang miskin.

“Sewaktu saya menjadi perdana menteri, purata pendapatan kerajaan RM66 bilion setahun. Sekarang pendapatan kerajaan RM180 bilion setahun tapi bantuan kepada org miskin masih pada RM200.

Inilah yang kita perlu ambil kira.

“Orang miskin tegar masih dapat jumlah yang diluluskan pada 1960. Sebab itu, kita perlu kaji belanjawan dengan lebih mendalam, mengambil kira kos kehidupan yang telah meningkat,” katanya.

Manifesto PH untuk PRU14 menyatakan 5 perkara untuk golongan OKU, iaitu:
  1. Mewujudkan Pusat Kecemerlangan Dasar Orang Kurang Upaya
  2. Menaikkan peruntukan pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan
  3. Menyediakan latihan teknikal dan vokasional untuk golongan istimewa
  4. Insentif untuk syarikat swasta untuk menyediakan kemudahan untuk glongan istimewa
  5. Mewajibkan kemudahan bagi golongan istimewa di semua jabatan kerajaan.

Tiada ulasan: