Isnin, 19 Mac 2018

PH kemuka 4 calon jadi MB Kelantan

ainulillia

Syor wujudkan kembali dua jawatan Timbalan Menteri Besar


KOTA BHARU – Pakatan Harapan mengetengahkan empat calon untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, sekiranya gabungan pembangkang berjaya merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, lapor Berita Harian.

Antara calon yang disebut adalah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir dan Naib Pengerusi Parti Amanah Kelantan (PAN), Datuk Dr Ab Halim Yusof.

Akhbar berkenaan memetik sumber PH Kelantan sebagai berkata, setakat hari ini, hanya empat nama yang dikemukakan sebagai calon Menteri Besar Kelantan, sekiranya PH berjaya merampas daripada PAS.

“Melihat kepada calon yang diangkat, Ab Halim antara calon yang sesuai dengan perwatakan dan latar belakang profesional, namun ramai menganggap beliau masih kurang berpengalaman dalam pentadbiran dan politik.

“Berbeza dengan Ab Aziz yang dianggap calon neutral dan kurang kontroversi selain berpengalaman luas dalam bidang politik iaitu hampir 30 tahun,” katanya.


Bagaimanapun, nama Husam dianggap calon paling popular kerana pernah menjadi Naib Presiden PAS.

Sumber itu berkata, hingga kini nama Husam belum digugurkan, namun pada masa sama, PAN dikatakan akan memberi nama lain bagi menggantikan ADUN berkenaan.

“Pada masa sama, ada cadangan dari peringkat pimpinan pertengahan supaya diwujudkan kembali dua jawatan Timbalan Menteri Besar.

“Perkara itu bagi memastikan tiga pimpinan PH ini berada di kerusi pimpinan utama negeri,” kata sumber itu

Tiada ulasan: