Ahad, 18 Mac 2018

Perniagaan merosot akibat GST tapi perbaharui lesen kena bayar RM1,200 di Beaufort


Roketkini.com

Peniaga di Beaufort, Sabah melahirkan rasa terkejut dan marah apabila terpaksa membayar RM1,200 bagi memperbaharui lesen perniagaan mereka di Majlis Daerah Beaufort baru-baru ini.

Mereka menzahirkan rasa tidak puas hati memandangkan kenaikan tersebut tidak masuk akal berbanding bayaran asal sebanyak RM30 sahaja kata Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt yang menerima aduan dari peniaga tempatan.

Lebih membingungkan, Majlis Daerah didakwa bertindak sesuka hati tanpa mengeluarkan sebarang notis mengenai kenaikan tersebut.

“Apakah sebab-sebab kenaikan caj lesen perniagaan secara mendadak? Adakah kenaikan bayaran memperbaharui lesen perniagaan akan menambahbaik perkhidmatan kutipan sampah, pembersihan longkang dan sebagainya?

“Pengenalan GST juga menjejaskan perniagaan. Kini peniaga pula terpaksa bayar RM1,200  untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata, mana-mana Majlis Daerah atau agensi kerajaan perlulah memastikan bayaran perkhidmatan yang diberikan adalah wajar dan tidak membebankan rakyat.

“Janganlah sewenang-wenangnya menaikkan cukai pintu atau caj lesen perniagaan jika banyak aduan dan masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan baik.

“Sama ada di Beaufort, Tawau, Kota Kinabalu atau Putatan. Banyak aduan mengenai masalah  sampah tidak dikutip mengikut jadual, longkang kotor dan tersumbat, rumput panjang, bangunan rumah kedai yang tidak terurus seumpamanya.

“Aduan begini memang biasa. Ini juga membukti kegagalan pengurusan kerajaan tempatan malah, masalah banjir di Beaufort juga tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan. Sekarang, bayaran lesen perniagaan pula mahal,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: