Selasa, 20 Mac 2018

Perbicaraan kes skandal air Sabah bermula 3 April

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 3 April perbicaraan kes melibatkan bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan tiga lagi selepas menolak permohonan seorang daripada mereka untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
 
Timbalan Pendaftar Dana Arabi Wazani berkata Hakim Nurchaya Arshad memutuskan keputusan itu dalam kamar selepas mendapati tidak ada merit dalam permohonan jenayah bekas timbalan pengarah JANS Teo Chee Kong yang bantahannya termasuk bagi perbicaraan bersama dan memohon Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menarik diri daripada mendengar kes itu.
 
“Mengenai semakan jenayah bagi perbicaraan bersama dan penarikan diri Hakim Mahkamah Sesyen, Yang Arif (Nurchaya) memutuskan tidak ada kemungkinan daripada segi berat sebelah di pihak hakim Mahkamah Sesyen,” kata Dana.
 
Dana berkata Nurchaya juga memerintahkan pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diketuai Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman untuk mengemukakan rakaman visual kamera litar tertutup, buku pendaftaran lokap dan dokumen berkaitan semasa tempoh reman yang dipohon oleh Teo yang telah ditolak oleh Abu Bakar.
 
Teo, 52, yang diwakili peguam Roland Cheng, Nelson Anggang dan Ram Singh, menghadapi 146 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan lebih RM32 juta, yang didakwa diperoleh melalui penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan projek-projek yang dibiayai JANS antara 2010 dan 2016.
 
Dia menghadapi 78 pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi pemilikan 70 keping tanah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang melalui 78 urus niaga, melibatkan RM12,705,203.
 
Baki 68 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,  Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, enam daripadanya atas tuduhan memiliki wang tunai RM7,930,810 dan yang lain melibatkan RM12,287,240 dalam akaun bank di lapan institusi kewangan.
 
Teo akan dibicarakan bersama-sama dengan bekas pengarah JANS Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, isterinya, Fauziah Piut, 51, dan bekas timbalan pengarah JANS Lim Lam Beng, 62, yang mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.
 
 

Tiada ulasan: