Ahad, 18 Mac 2018

Penyakit kulit, kurang zat makanan ancam Orang Asli di Pos Titom, Pos Lenjang


Roketkini.com

Salah seorang doktor sukarelawan Kem Kesihatan di Pos Titom dan Pos Lenjang, Cameron Highlands yang dianjurkan baru-baru ini berkongsi pengamatan beliau selama tiga hari memberikan rawatan dan bimbingan kesihatan kepada komuniti Orang Asli Semai di sini.

Menurut Dr Shanmuganathan, khidmat kesihatan di kawasan itu perlu penambahbaikan dan diberi perhatian serius memandangkan perkhidmatan tersebut hanya dijalankan sekali dalam tempoh sebulan oleh kerajaan.

“Bekalan ubat-ubatan jangka panjang seperti untuk penyakit darah tinggi jarang diperolehi, Pesakit yang memerlukan ubat tersebut dibiarkan dan terdedah kepada risiko komplikasi.

“Kudis, kutu kepala, dan impetigo (jangkitan penyakit kulit) sangat berleluasa dan amat memalukan apabila berbilion peruntukan untuk kesihatan tidak mempu menyelesaikan keperluan kesihatan asas di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut menjadi tumpuan katanya ialah isu kekurangan zat makanan pada kanak-kanak yang menyebabkan tumbesaran mereka terbantut.

“Kekurangan zat makanan bagi anak-anak Orang Asli di sini pada usia tiga tahun akan memberi kesan jangka panjang terhadap tumbesaran fizikal dan mental mereka.

“Adakah statistik ini ada dalam data Kementerian Kesihatan? Kementerian patut berasa malu,” ujarnya.

Kerajaan katanya perlu memikirkan jalan terbaik bagi menyalurkan peruntukan kesihatan kepada golongan terpinggir di negara ini.

“Dalam era teknologi, akses kepada internet dan individu dikalangan Orang Asli yang terlatih boleh bertindak sebagai orang penting kepada komuniti mereka,” kata Shan.

Salah satu kaedah yang boleh diaplikasi ialah melalu telemedicine yang bertindak untuk memberi nasihat bagi kes kecemasan, tindakan dan penilaian di kawasan luar bandar.

Shanmuganathan pada masa yang sama turuh menzahirkan rasa kecewa terhadap pengabaian yang berlaku kepada masyarakat Orang Asli di sini antaranya keadaan jalan yang berbahaya dan sukar.

“Saya rasa bersyukur apabila kawasan ini ada bekalan tenaga solar. Itu pun atas usaha badan bukan kerajaan (NGO).

“Pengalaman perjalanan ke sini boleh membuka mata kepada rakyat Malaysia  bagaimana masyarakat Orang Asli dipinggirkan dari menikmati kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: