Isnin, 19 Mac 2018

Mufti Perlis tak tanya, Amri tak bangkit muta’ah, kata adik ipar



Amri Che Mat hilang sejak 24 November 2016.


KUALA LUMPUR: Adik ipar aktivis Perlis yang hilang lebih setahun lalu menafikan Amri Che Mat pernah disoal Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sama ada beliau mengamalkan nikah muta’ah atau perkahwinan kontrak yang tidak diiktiraf di Malaysia.

Norhafizal Mohd Ariffin, 44, berkata abang iparnya juga tidak bercakap mengenai nikah muta’ah dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabat mufti Perlis yang turut disertainya, pada 22 Oktober 2015.

“Amri tak ada sebut apa-apa mengenai muta’ah,” katanya menjawab soalan peguam keluarga Amri, K Muthiah dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis itu yang memasuki hari ke-4, hari ini.

Amri dan Norhafizal menemui Asri di pejabatnya, sehari selepas mufti Perlis itu menyertai serbuan bersama polis dan pihak berkuasa agama negeri di rumah Amri pada 21 Oktober 2015.

Norhafizal yang mengakui tidak berapa ingat mengenai pertemuan itu berkata, beliau akan ingat jika isu mengenai muta’ah dibangkitkan.

Beliau berkata, Amri juga tidak pernah bercerita mengenai amalan nikah muta’ah dengannya.

Bagaimanapun, katanya, Amri mengaku beliau ialah seorang Syiah dalam pertemuan bersama Asri, bertentangan kenyataan isteri Amri.

“(Dan) mufti ada bagi tahu kalau anda nak Syiah, anda Syiah lah,” katanya.

Asri menerusi satu temubual pada 23 Januari lalu berkata, Amri ialah seorang Syiah yang mengamalkan perkahwinan muta’ah berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.

Amri yang juga pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Sebelum ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Timbul spekulasi mendakwa Amri terbabit dalam penyebaran ajaran Syiah, aliran Islam yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia.

Selain kehilangan Amri, Suhakam turut mengadakan inkuiri bagi menyiasat kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth.

Seorang lagi individu yang hilang, Pastor Raymond Koh, tidak lagi menjadi subjek siasatan, selepas seorang suspek dihadapkan ke mahkamah Januari lalu atas tuduhan menculiknya.
Asri serang Amri, kata Syiah ancam ‘keselamatan negara’

Tiada ulasan: