Ahad, 18 Mac 2018

Manifesto PAS ambil kira kejayaan kerajaan

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS dijangka membentangkan manifesto yang bersifat realisitik dengan bersandarkan kepada kemampuan parti itu dalam melaksanakannya, jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengarah Pusat Penyelidikannya Dr Zuhdi Marzuki.
 
Katanya, perkara asas yang diambil kira PAS adalah dengan tidak menafikan kejayaan-kejayaan yang dicapai kerajaan sepanjang memerintah negara.
 
Zuhdi berkata, manifesto PAS tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang sering mengatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara gagal sepanjang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
 
Tetapi sebaliknya ujar beliau, banyak kejayaan yang dilakar kerajaan namun dinafikan oleh pembangkang.
 
"PAS parti yang bersifat realistik, kita sudah melancarkan dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Kita (juga) dah lancarkan dokumen Hijau, kesemua dokumen itu kita mengambil kira bahawa Malaysia bukan sebuah negara gagal.  
 
"Parti pembangkang lain mengatakan Malaysia negara gagal dan sebagainya. Cuma kita kena akui bahawa  kita mempunyai banyak masalah dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial. 
 
"PAS juga bersama Gagasan Sejahtera, kita memperakui tentang kecekapan dan sumbangan yang dibuat oleh kakitangan kerajaan. Profesionalisme mereka kita tak nafikan, merekalah yang banyak mengemukakan dasar-dasar," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Khamis lalu, PH melancarkan 60 janji manifesto parti itu beserta lima teras yang diguna pakai tatkala mahu menambat hari rakyat bagi memilih mereka pada PRU14.
 
Namun jelas, ada daripada janji-janji tersebut dikitar semula daripada PRU lalu, malah tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang ditakluk mereka sejak 10 tahun lalu, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.
 
Manifesto yang dijanjikan PH dikritik hebat, antaranya penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan mengembalikan subsidi petrol bersasar yang dilihat hanya retorik semata-mata selain tidak realistik. 
 
Perlaksanaan janji-janji ditawarkan gagasan pembangkang itu juga dikhuatiri bakal mewujudkan kadar defisit yang tinggi selain mampu memudaratkan pertumbuhan ekonomi bagi jangka panjang.
 
Kata Zuhdi lagi, PAS akui dengan pencapaian yang diperoleh kerajaan, justeru parti itu akan menyambung semua dasar-dasar yang memberi sumbangan besar kepada negara.
 
PAS akan membentangkan sembilan teras utama merangkumi isu pendidikan, sosial dan kesejahteraan rakyat dalam manifesto parti itu menjelang PRU14.
 
Mursyidul Amnya, Hashim Jasin berkata, manifesto itu akan tertumpu kepada penyelesaian masalah dihadapi rakyat dan negara dalam pelbagai perkara.
 
Manifesto berkenaan akan dilancarkan Presiden parti, Datuk seri Abdul Hadi Awang malam ini di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
 
 

Tiada ulasan: