Ahad, 18 Mac 2018

Kamu akan perlukan PAS, kata Hadi pada PH, BN

 
Abdul Hadi berikrar pengakhiran PRU14 ialah PAS mempunyai kapasiti untuk memaksa BN dan parti-parti tertentu dalam PH datang berunding.
Hadirin bersolat hajat memohon kemenangan PAS dan kehancuran “pakatan-pakatan jahat”.

SHAH ALAM: Baru minggu lalu badan berkaitan PKR, Invoke Malaysia, meramalkan PAS tidak relevan selepas pilihan raya umum ke-14, parti itu malam tadi tidak berganjak daripada strategi mewujudkan senario kuasa penentu di seberapa banyak kawasan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikrar pengakhiran PRU14 ialah PAS mempunyai kapasiti untuk memaksa Barisan Nasional dan parti-parti tertentu dalam Pakatan Harapan datang berunding untuk membentuk kerajaan.

“Kita akan bertanding tidak kurang 130 kerusi. Kalau tak dapat majoriti mudah, kita akan dapat banyak kerusi yang membolehkan kita menjadi ‘kingmaker’. Semua parti tak boleh tubuh kerajaan melainkan tanya kita,” kata Hadi.

Beliau berucap kepada lebih 2,000 orang yang berhimpun sempena program munajat perdana di Stadium JKR Shah Alam.

Hadi sasaran cemuhan parti lawan selepas PAS dan PH gagal mencapai persefahaman menuju PRU14, namun beliau percaya strategi “kingmaker” akan membantu PAS dalam permainan jangka masa panjang mereka.

“Maka Selangor mesti menang sebanyak mungkin untuk kita buat perubahan,” katanya.

Di satu forum ramalan pilihan raya 10 Mac lepas, pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli berkata data meramalkan PAS akan tewas setiap satu kerusi Parlimen dan DUN termasuk di Kelantan.

Ramalan itu mengejutkan beberapa pihak, kerana parti Islamis itu mempunyai kehadiran yang kuat di Kelantan, dan Selangor sejak 2 pilihan raya lalu.

“PAS akan menentang BN dan PH dalam pilihanraya dan beberapa banyak penjuru pun kita tidak takut. Kita akan lawan,” kata Hadi.

Selain PAS, agenda Islam turut diangkat 20 NGO Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang berikrar akan menyokong parti politik yang melawan fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme pada PRU14.

Terdahulu, hadirin menyertai solat hajat dipimpin penceramah agama terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani, memohon kehancuran “pakatan-pakatan jahat”.

“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tak mempunyai kekuatan sebagaimana Kamu lebur tentera ahzab yang akan kami hadapi nanti,” kata Dusuki dalam doa malam tadi.

Tiada ulasan: