Isnin, 19 Mac 2018

JPN akan siasat dakwaan dwi-kerakyatan Jho Low



Jho Low dikatakan memegang dwi-kewarganegaraan, Malaysia dan St Kitts and Nevis di kepulauan Hindia Barat. (Gambar Bloomberg)


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuka satu fail menyiasat dakwaan ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho mempunyai dwi-kewarganegaraan.

Kementerian Dalam Negeri berkata, tiada bukti diserahkan bersama aduan yang dihantar ke jabatan itu untuk mewajarkan sebarang tindakan diambil terhadap Low di bawah Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, JPN sudah mengemukakan permohonan pengesahan status kewarganegaraan subjek dengan negara berkenaan dan akan menjalankan tindakan selanjutnya mengikut perundangan dan prosedur berkuat kuasa sebaik sahaja bukti diperoleh,” katanya.

Kementerian itu menjawab soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) berhubung status siasatan itu dan tindakan yang diambil berdasarkan aduan dibangkitkan pada 21 Jun 2017 berkaitan dwi-kewarganegaraan Low.

Ng turut bertanya mengenai usaha mengesan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Pada Jun 2017, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng meminta kerajaan mengambil tindakan susulan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang Low memegang dwi-kerakyatan.

Menurut saman sivil DoJ ke-3 berkaitan 1MDB, Low mempunyai pasport Malaysia dan St Kitts and Nevis, sebuah negara di kepulauan Hindia Barat.
 
Ini didedahkan dalam dokumen DoJ yang menyatakan surat dengan kepala surat Good Star bertarikh atau sekitar 19 Mac 2010, dengan tandatangan “menyerupai tandatangan Jho Low dalam pasport Malaysia dan St Kitts and Nevis”.

Menurut Reuters, Low adalah satu-satunya pemilik dan benefisiari Good Star yang didaftarkan di Seychelles.

Lim berkata, Malaysia tidak memperakui dwi-kewarganegaraan di bawah Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Perkara 24, kerajaan boleh membatalkan kerakyatan seseorang yang didapati memegang dwi-kewarganegaraan.

Tiada ulasan: