Ahad, 18 Mac 2018

Jika menang di Ayer Hitam, PH akan tawan Putrajaya dan Nusajaya, kata Lim Kit Siang



Jika menang di Ayer Hitam, PH akan tawan Putrajaya dan Nusajaya, kata Lim Kit Siang

Lim Kit Siang

Jika Pakatan Harapan (PH) boleh menang di kerusi Parlimen Ayer Hitam, Johor, ia mempunyai dua implikasi penting iaitu PH boleh membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Johor di Nusajaya.

Demikian kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam dialog di Pengkalan Rinting, Johor Baru semalam.

Kata beliau, semua mata, bukan sahaja di Johor, malah di seluruh Malaysia akan tertumu ke Ayer Hitam hari ini di mana Pengerusi PH Tun Mahathir Mohamad akan mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Calon berkenaan tambah beliau, akan menentang Timbalan Presiden MCA dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Setakat ini katanya lagi, perhatian umum memberi fokus kepada personaliti, siapakah yang akan menentang Wee daripada Barisan Nasional (BN) di kerusi selamatnya dan Wee telah menjadi Ahli Parlimen di situ selama tiga penggal sejak Pilihan Raya 2004.

“Tetapi yang lebih penting, selain siapa lawan siapa, ialah makna pertarungan di kawasan parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini nanti,” kata beliau.

Jelas Kit Siang, jika PH boleh menang di kerusi Parlimen Ayer Hitam, ia mempunyai dua implikasi penting: pertama, PH boleh membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada PRU14 dengan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) ke-7 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8.

“Dan kedua, PH juga boleh membentuk Kerajaan Negeri Johor yang baharu di Nusajaya atau Iskandar Puteri,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Dan selepas itu kata beliau, selepas enam dekad membina negara, Malaysia akan turut menyertai demokrasi normal seperti India, Korea Utara, Jepun Filipina, malah Indonesia di mana pengundi boleh secara aman mengamalkan demokrasi dan hak mereka mengubah kerajaan.

“Malaysia menjadi sebuah negara yang normal dan berdemokrasi matang adalah lebih penting daripada perspektif sejarah,” kata beliau.

Tiada ulasan: