Ahad, 18 Mac 2018

Isu air: Noh cabar Azmin debat satu lawan satu di Parlimen

Mohammad Arif Nizam
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Karnival Usahawan Muda Malaysia di Ampang Point, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI,
 

KUALA LUMPUR – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdebat isu air di Parlimen yang sedang bersidang ketika ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor menegaskan, Menteri Besar Selangor itu sepatutnya membahaskan isu yang menjadi kontroversi di negeri tersebut hingga menyebabkan rakyat menderita.

Beliau berkata, Mohamed Azmin tidak wajar mendiamkan diri ketika Ahli Parlimen lain diberi peluang untuk berhujah.

“Saya hendak cabar Azmin berdebat isu air ini. Tapi Azmin ini penakut. Kalau betul anak jantan kenapa tida mahu bahas di Parlimen.

“Kalau betul berani tidak perlu berdebat dengan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir. Zaini Ujang. Berdebat dengan saya pun boleh dalam isu air ini. Dengan satu lawan satu di Parlimen. Jangan berani berkokok di luar sahaja.

“Mana Azmin pergi? Hendak kata Dewan Undangan Negeri sedang bersidang, tiada ada pula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda Malaysia anjuran Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA) di Ampang Point di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PUMMA, Hasry Sham Chasmen dan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Beliau mengulas cabaran Mohamed Azmin semalam yang mencabar Zaini menceburi bidang politik dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menteri Besar itu menggesa Zaini meletak jawatan dan bertanding di kawasannya iaitu Parlimen Gombak atau Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Mengulas lanjut, Noh menyifat Mohamed Azmin seorang yang memiliki pemikiran cetek dan kurang cerdik.

Ini kerana jelas beliau, Zaini merupakan penjawat awam dan bercakap berdasarkan fakta yang disediakan oleh kementeriannya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: