Sabtu, 17 Mac 2018

Isa Samad mungkin disisihkan pada PRU14

DETIK DAILY

 
Pemimpin Umno yang juga anggota parlimen Jempol di Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dilihat bakal disisihkan pada pilihan raya umum akan datang.

Pesaing utama Isa di Jempol adalah ketua bahagian Umno di kawasan itu, Datuk Mohd Salim Sharif yang pernah menjadi setiausaha politik beliau.

Mohd Salim mengambil alih bahagian Umno Jempol pada tahun 2013 dan dilantik sebagai senator setahun kemudian.

Beliau dilihat berada dalam kem Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang dilihat bersaing dengan kem Isa di negeri itu.

Menurut sumber yang biasa dengan politik di Jempol, Isa jarang dilihat berada di kawasan itu.
Sebaliknya, Salim secara aktif berinteraksi dengan pengundi serta parti komponen BN dan dilihat sebagai bakal calon untuk kerusi tersebut.

Salim bahkan ada bertanya kepada penduduk Jempol sekiranya mereka akan menyokongnya jika dilantik sebagai anggota parlimen.

Isa adalah menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Pada tahun 2004, beliau menang jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu, tetapi jawatan dan keanggotaannya digantung selepas beliau didakwa membeli undi.

Isa membuat kemunculan semula pada 2008 dan setahun kemudian, beliau memenangi pilihan raya kecil di Bagan Pinang dengan majoriti besar.

 
Pada tahun 2010, beliau dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi Felda.

Bagaimanapun, beliau tidak lama kemudian terlibat dalam beberapa skandal melibatkan agensi berkenaan dan digantikan dengan anggota parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Najib kemudian menamakan Isa sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Dua bulan kemudian, Isa ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan pembelian hotel oleh Felda.

Walaupun Isa merupakan anggota Parlimen Jempol selama dua penggal selepas menang di kawasan itu pada PRU 2004 dan PRU 2013, beliau merupakan ketua bahagian Umno Teluk Kemang.

Bulan lalu, Mohamad Hassan mengumumkan Ketua Publisiti MIC, VS Morgan sebagai calon BN di Teluk Kemang.

Ketika dihubungi, Isa enggan mengulas jika beliau akan mempertahankan Jempol pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak tahu," katanya sambil ketawa.

Ditanya sama ada Salim akan diletakkan bertanding di Jempol, Isa juga mengunci mulut.
"Saya tidak mahu mengulas pada masa ini, biarlah presiden (Umno) memutuskan," katanya kepada Malaysiakini.
 
 

Tiada ulasan: