Ahad, 18 Mac 2018

Hapus GST: Untuk Rakyat Atau Lindungi Ekonomi Gelap ?


 




KUALA LUMPUR – Manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP yang mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) terus menimbulkan persoalan memandangkan sistem percukaian yang telah dilaksana di 160 negara itu merupakan mekanisme terbaik bagi mengelakkan ketirisan serta penipuan cukai.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pemansuhan GST yang disifatkan tidak realistik juga hanya akan menyebabkan ‘ekonomi gelap’ kembali kerana sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mempunyai kelemahan dari aspek tersebut.

Sedangkan katanya, pelaksanaan sistem GST lebih telus berikutan setiap perniagaan perlu berdaftar dan membayar cukai melalui data yang disediakan.

“Tiada pihak yang terlepas daripada pelaksanaan GST dan cukai yang dikenakan sebenarnya kembali kepada rakyat di samping boleh mengimbangi hasil kerajaan. Jadi mengapa pula pembangkang mahu menghapuskan satu sistem yang begitu cekap?

“Saya tidak faham kenapa pembangkang ingin meneruskan ekonomi gelap kecuali mungkin ada parti tertentu yang mahu melindungi peniaga yang tidak bertanggungjawab,” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Pakatan Harapan diketuai DAP dalam manifestonya mahu menghapuskan GST sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam melahirkan rasa hairan dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu kembali kepada SST kerana sistem percukaian itu mempunyai banyak kelemahan terutama dapat menggalakkan ‘ekonomi gelap’ menerusi penipuan.- UTUSAN ONLINE





Tiada ulasan: