Isnin, 19 Mac 2018

Hadi pertahan Sallehen tulis surat pada Sultan Selangor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
CYBERJAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS menggunakan saluran yang betul apabila menghantar surat kepada Sultan Selangor bersabit isu 13 ADUNnya disekat peruntukan tahunan oleh kerajaan negeri.
 
Hadi berkata apa yang dilakukan adalah selaras dengan prinsip demokrasi malah lebih penting Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah harus mendapat maklumat yang betul daripada pihak PAS.
 
“Kita menggunakan saluran betul, dalam proses demokrasi negara kita, kerajaan dipilih rakyat melalui pilihan raya.
 
“Exco kerajaan negeri dan menteri besar, dan Sultan adalah sebahagian daripadanya, maknanya kita boleh menghubungkan perkara tertentu dengan baginda. Tidak menjadi salah mengikut amanah demokrasi,” katanya ketika pelancaran manifesto Gagasan Sejahtera di sini malam tadi.
 
Hadi mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang menuduh PAS cuba mengheret istana Selangor ke dalam isu pembekuan peruntukan kepada ADUN PAS di negeri itu.
 
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi menulis surat kepada Sultan Selangor mengenai isu sekatan peruntukan itu.
 
Sallehen juga mahu Jabatan Audit Negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu penahanan peruntukan tahunan untuk ADUN parti itu. 
 
Sallehen memberitahu Antarapos sebelum ini bahawa siri tindakan itu akan diambil dalam masa terdekat selepas Azmin sehingga kini enggan memberi kebenaran bertulis untuk ADUN PAS diberikan akses kepada dana itu. 
 
Pembekuan RM800,000 untuk setiap wakil rakyat kerajaan negeri itu hanya melibatkan ADUN PAS dan dikatakan bertujuan mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). 
 
Sallehen berkata pihaknya sudah memberikan ruang secukupnya kepada Azmin untuk menyelesaikan kemelut itu tanpa melibatkan istana atau mana-mana pihak lain. 


Tiada ulasan: