Isnin, 19 Mac 2018

Doa Ahmad Dusuki tidak pelik tapi dimanipulasi - Tuan Ibrahim

Oleh Athirah Hanapiah & Ainor Rahim
Post Pic
 
 
CYBERJAYA: Doa yang dibacakan ahli Jawatankuasa PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani pada malam program munajat dan solat hajat sempena 10 tahun PAS di dalam kerajaan negeri Selangor, tiada yang pelik namun ia dimanipulasi.
 
Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seraya berkata doa itu sekadar mendoakan agar urusan 13 ADUN PAS di Selangor yang kini disekat peruntukan wakil rakyat oleh menteri besar Selangor, dipermudahkan.
 
"Doa itu dimanipulasi. Kalau kita tengok pun doa, biasalah kita doa untuk kemenangan kita dan mengalahkan musuh kita, sebenarnya tiada benda yang pelik pun.
 
"Yang jadi isu bukan doa, yang jadi isunya media yang pusing, kalau media lapor betul, tiada isu pun. Sebagai contoh Malaysiakini tiga kali ubah tajuk dalam tu.
 
"Sekarang ini bila masing-masing cuba putar-belit isu itu sebab media ambil dalam konteks yang tidak betul, mula-mula sebut hancur pakatan musuh, macam-macam istilah tapi sebenarnya tidak pun, bagi saya itu bukan isu," katanya kepada media selepas menghadiri majlis syarahan perdana sempena pelancaran manifesto PAS di sini, malam tadi.
 
Semalam, beberapa portal melaporkan doa yang dibaca Ahmad Dusuki ketika selesai solat hajat bersama ahli dan penyokong PAS di Selangor.
 
Dalam doa itu Ahmad Dusuki meminta agar dibuka hati kepimpinan Selangor untuk mengembalikan peruntukan kepada para wakil rakyatnya di negeri itu selain memohon Allah menghancur dan melemahkan ‘pakatan jahat’ yang akan dihadapi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
“Beri peluang kami melihat keadilan Islam dan indahnya agama kamu di bumi bertuah ini… bertapa ada kalangan Adun kami disekat perbelanjaan mereka dan peruntukan mereka, pada kamu kami mohon buka hati mereka dan layaknya kamu membalas.
 
“Jemaah ini dikhianati mereka yang melarikan kerusi kami ya Allah… tidakkah kamu menyebut dalam kata-kata kamu doa mereka yang dizalimi tidak akan ditolak, kami pohon segala pakatan mereka rancang dihancur lebur.
 
“Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tidak mempunyai kekuatan sejauh mana kamu dah lebur tentera ahzab demikian kami akan hadapi nanti,” demikian doa yang dibacakan Ahamd Dusuki.
 
Susulan itu, timbul pertikaian siapakah 'pakatan jahat' yang disebutkan Ahmad Dusuki.
 
Mengulas lebih lanjut perkara itu, Tuan Ibrahim berkata secara logiknya mana-mana parti politik juga akan mendoakan kejayaan parti mereka.
 
"Memanglah kalau kita doa kita akan minta pada Allah supaya Allah beri kemenangan kepada kita dan mengalahkan musuh kita. Jadi apa yang pelik pun? Tiada apa yang pelik sebenarnya dalam doa itu.
 
"Jadi saya alu-alukan doa daripada PH untuk kemenangan PAS, Gagasan Sejahtera, tidak mungkin mereka doakan kemenangan kepada Gagasan Sejahtera sebagaimana kami tidak akan mendoakan untuk mereka," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: