Sabtu, 31 Mac 2018

Kerajaan boleh pertimbang kurangkan kadar GST, kata pakar

Kerajaan boleh pertimbang kurangkan kadar GST, kata pakar
Barisan Nasional dikatakan akan menyemak kembali kadar GST dalam manifestonya, tindakan yang jika berlaku boleh mengurangkan beban pengguna. Kadar GST boleh dikurangkan atau lebih banyak barangan dan perkhidmatan ditetapkan pada kadar sifat GST. – Gambar EPA,
 
KETIKA cakap-cakap yang Barisan Nasional merancang untuk merombak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam manifestonya bertiup kencang, seorang ahli ekonomi berkata semakan itu boleh dilakukan dalam beberapa aspek cukai tersebut.

Profesor Yeah Kim Leng mengatakan beban keseluruhan cukai itu kepada pengguna boleh dikurangkan, dengan kadar GST diturunkan sebanyak 1% atau 2% daripada kadar sekarang sebanyak 6%.

“Kadar GST boleh dikurangkan sebanyak satu atau dua peratus kepada 4-5%.

“Pengurangan kadar GST kepada 4% boleh ‘memulangkan’ atau meningkatkan pendapatan boleh belanja sebanyak RM15 juta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Profesor Sunway University dan Pengarah Pengajian Ekonomi Institut Asia Tenggara Jeffery Cheah itu mengatakan ini juga bermakna kerajaan persekutuan mempunyai perolehan cukai yang kurang berbanding sekarang tetapi tindakan itu boleh dijustifikasikan.

“Ia adalah tukar ganti yang boleh dijustifikasikan dalam akaun yang berkemungkinan menaikkan perolehan pendapatan kerajaan daripada peningkatan harga minyak mentah serta kesan berganda peningkatan perbelanjaan pengguna.”

Yeah berkata satu lagi aspek yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah meluaskan liputan kadar sifar cukai terutama dalam barangan dan perkhidmatan penting.

Dera pembantu rumah, penjara 8 tahun buat Rozita

THE MALAYSIAN INSIGHT

Dera pembantu rumah, penjara 8 tahun buat Rozita
Suri rumah bergelar Datin, Rozita Mohamad Ali dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mendera pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman lapan tahun ke atas seorang suri rumah, Rozita Mohamad Ali atas penderaan yang dilakukan ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Laporan The Malay Mail Online menyebut, hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Rozita dengan bon kelakuan baik dan jaminan RM20,000.

Keputusan Mahkamah Sesyen ke atas wanita bergelar “Datin” itu menimbulkan kemarahan masyarakat umum kerana terlalu ringan bagi kesalahan mendera warga Indonesia tersebut.

Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Bekas koperal dipenjara 197 tahun, 79 sebatan

THE MALAYSIAN INSIGHT

Bekas koperal dipenjara 197 tahun, 79 sebatan

SEORANG bekas anggota tentera berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara 197 tahun enam bulan (2,370 bulan) dan 79 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas 79 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang berjumlah RM50,238.10, dua tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Musa Md Dawi, 28, yang kini merupakan pekerja kontrak, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dikenakan hukuman penjara 30 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkenaan berjalan serentak bermula hari ini.

Ini bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama 30 bulan dan 79 sebatan.

Lelaki itu didakwa atas 74 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM46,281.10 itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Musa turut menghadapi tiga pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM3,067.60 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Anuar Bolhassan.

Tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun Pulpak dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM889.40 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohd Ramdan Mohd Sani.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Belanjawan, Pulpak, Kem Sungai Udang antara 25 April hingga 1 Julai, 2016.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta masyarakat berikutan dia merupakan penjawat awam dan anggota tentera yang menjaga keselamatan awam, namun gagal menggalas tanggungjawab.

Beliau berkata Musa juga melarikan diri dan gagal hadir di mahkamah untuk sebutan semula kes dan perbicaraan sehingga waran tangkap dikeluarkan, sekali gus menyusahkan banyak pihak selain melibatkan kos tambahan untuk mencarinya.

Musa bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung isteri serta ibu dan bapanya yang menghidap sakit jantung. – Bernama

Kajian dapati BN akan terus berkuasa, tetapi undi popular hanya 42%

Kajian dapati BN akan terus berkuasa, tetapi undi popular hanya 42%
Umno menerusi Barisan Nasional dijangka akan terus berkuasa walaupun undi popularnya akan jatuh sehingga hanya 42%. Rakan kongsi kuasanya yang lain- MCA, MIC dan Gerakan- pula dijangka jadi mangsa persempadanan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
JIKA pilihan raya diadakan hari ini, Barisan Nasional (BN) dijangka akan kekal berkuasa walaupun undi popularnya merosot sehingga 42% sahaja, kata badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE).

Kajian terbaru IDE mendapati BN akan menang lebih banyak kerusi Parlimen melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, berbanding 133 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu .

"Dengan trend yang ada dan mengambil kira persempadanan semula kawasan pilihan raya, kajian ini mendapati BN akan terus kekal termasuk di Johor tetapi akan kalah di Kedah," kata Timbalan Pengerusi IDE Profesor Dr Mohammad Redzuan Othman.

Kajian IDE itu juga mendapati parti gabungan lain dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC bakal menjadi mangsa utama persempadanan baru kawasan pilihan raya itu.

Redzuan menjangkakan rakan kongsi utama dalam BN itu akan hilang hampir semua kerusi yang mereka tandingi pada pilihan raya kali ini terutamanya kepada DAP.

"Isunya sekarang, bolehkah rakyat menerima keputusan sebegini. Umno untung besar, rakan kongsinya hilang semua, melalui manipulasi kawasan pilihan raya," kata Redzuan.

Persempadanan baru kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam akan mewujudkan lebih banyak kerusi berasaskan kaum dengan mengasingkan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Pengkritik mendakwa persempadan baru itu akan mewujudkan lebih banyak bilangan kerusi Melayu, dengan andaian pengundi bukan Melayu tidak menyokong Umno lagi.
Bersatu dipimpin Muhyiddin Yassin di Johor dijangka akan kecundang. Pengaruh bekas timbalan perdana menteri itu belum cukup untuk merempuh kubu kuat Umno itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.
Bersatu dipimpin Muhyiddin Yassin di Johor dijangka akan 
kecundang. Pengaruh bekas timbalan perdana menteri itu belum 
cukup untuk merempuh kubu kuat Umno itu. – Gambar fail 
The Malaysian Insight
Kajian di seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan lebih 5,000 responden dengan menggunakan 95 enumerator yang tamat 26 Mac itu mendapati, pengundi Melayu di Johor kekal bersama Umno.

"Yang pasti, mengikut kajian ini, PH khasnya Amanah berjaya kalahkan PAS di Kelantan, manakala di pantai barat, PAS berjaya sebabkan PH tidak menang," kata Naib Canselor Unisel itu.

Beliau juga menjangkakan PAS akan gagal mempertahankan Kelantan, negeri yang dikuasainya sejak 1990, apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.

"PAS akan dapat beberapa kerusi tetapi akan gagal mempertahankan kerajaan negeri," kata Redzuan.
Kajian IDE juga mendapati pengundi Melayu di Johor akan kekal mengundi Umno walaupun mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran Najib di Putrajaya.

"Pengaruh Muhyiddin tidak cukup kuat untuk menarik penyokong Umno kepada PH tetapi pengaruh Dr Mahathir dan Mukhriz cukup untuk menarik penyokong Umno di Kedah menyokong PH.”

Kempen PH di Johor diketuai oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga bekas timbalan presiden Umno dan pernah jadi menteri besar negeri itu.
Gandingan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir dijangka cukup kuat untuk merampas Kedah daripada BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.
Gandingan Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir 
dijangka cukup kuat untuk merampas Kedah daripada BN. – 
Gambar fail The Malaysian Insight
Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan calon perdana menteri Pakatan Harapan, dan anaknya Mukhriz disebut-sebut akan bertanding di Kedah.

"Itu kajian pada hari ini, lainlah kalau berlaku gelombang selepas pembubaran Parlimen nanti," kata Redzuan.

Kajian itu juga mendapati PH akan terus memerintah Selangor dan Pulau Pinang tetapi Umno dijangka akan menjadi parti individu yang paling banyak mendapat kerusi di Selangor.

"Umno dijangka akan menang sehingga 20 kerusi di Selangor melalui persempadanan baru pilihan raya yang dibuat, tetapi kerjasama dalam PH akan menyebabkan kerajaan negeri yang ada kekal," kata Redzuan merujuk kepada Dewan Negeri Selangor yang mempunyai 56 kerusi itu.

PAS dijangka akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di Selangor apabila hanya mendapat tidak sampai 1% undi Cina dan sekitar 14% undi Melayu sahaja, berbanding 18% undi Melayu sebelum ini.

"Nampaknya PAS datang dalam keadaan dagang di Selangor dan akan menjadi dagang juga dalam pilihan raya akan datang," kata Redzuan, merujuk kepada naratif yang selalu digunakan PAS.

IDE dijangka akan membentangkan secara terperinci kajian ini dalam satu seminar yang akan diadakan awal bulan depan

Universiti antara punca graduan menganggur, kata kajian

Universiti antara punca graduan menganggur, kata kajian
Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), graduan universiti awam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama jika dibandingkan dengan graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri kaya seperti Selangor dan Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
TERLALU memilih kerja dan meminta gaji yang tidak munasabah - sering dikatakan menjadi punca masalah pengangguran di kalangan graduan.

Namun, sebuah badan pemikir pula mengatakan hubungan keluarga dan universiti awam di mana graduan belajar menjadi faktor penting untuk mereka mendapatkan pekerjaan.

Menurut pusat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), lebih daripada 80% pemegang ijazah yang menganggur meminta gaji kurang daripada RM3,000, manakala 70% penganggur yang mempunyai diploma meminta gaji kurang daripada RM2,000.

Selepas menganalisis data lapan tahun dari Kementerian Pengajian Tinggi, KPRU turut mendapati terdapat trend yang membimbangkan di kalangan graduan.

Graduan universiti awam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Terengganu dan Sabah didapati lebih sukar mendapat pekerjaan pertama jika dibandingkan dengan graduan dari pusat pengajian tinggi di negeri kaya seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Ooi Teik Khim, yang menulis kajian tersebut menyifatkan ia adalah masalah 3'P': keluarga miskin (poor families), negeri miskin (poor states) dan kelas sosial bawahan (poor social standing).

"Majoriti graduan yang menganggur berasal dari keluarga miskin atau si rumah berpendapatan rendah dan negeri yang miskin atau berpendapatan rendah. Mereka juga mempunyai modal sosial yang lemah, mungkin kerana mereka datang dari kelas sosial bawahan," kata Ooi.

"Ia petunjuk ketara mengenai ketidaksamaan dalam masyarakat kerana tidak semua graduan setara dalam pekerjaan. Graduan dari keluarga kaya dan negeri berpendapatan tinggi dengan rangkaian sosial yang lebih baik mempunyai kelebihan dalam pekerjaan."

"The Findings of Graduate Tracer Study 2007-2015: Broken Malaysia Dream" berpendapat trend ketidaksamaan ini akan membawa kepada pergolakan sosial dalam jangka masa panjang.

"Umumnya, pendidikan dilihat sebagai cara terbaik untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Andainya pendidikan tidak lagi menjadi jalan berguna untuk mencapai hidup yang lebih baik, dan masyarakat juga sedar akan hal itu, lebih banyak pergolakan sosial akan terjadi.

Bagi generasi muda sekarang, impian rakyat Malaysia untuk memperoleh kehidupan lebih baik melalui pendidikan lebih tinggi telah musnah, kata Ooi.

"Mereka telah menyaksikan pelbagai kisah kejayaan mengenai orang dari keluarga berpendapatan rendah melonjak ke kelas menengah dan tinggi menerusi pendidikan tinggi serta usaha keras," katanya.

"Graduan hari ini sedar mereka semakin sukar mendapatkan pekerjaan dan gaji untuk mereka tidak berganjak. Pasaran kerja juga lebih memihak kepada graduan yang datang dari latar belakang yang lebih baik."

Siapa yang anda tahu

Kajian ini menganalisa data daripada tinjauan ke atas graduan diploma dan ijazah yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dari 2007 hingga 2015.

Misalnya, pada 2015, kementerian meninjau 229,568 graduan dari 22 universiti awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tinjauan kementerian mengenal pasti punca mengapa graduan menganggur, cara mereka mencari kerja dan jumlah masa yang diperuntukkan untuk mencari kerja.

Graduan juga ditanya sama ada mereka adalah pekerja tetap atau sementara, gaji yang diminta dan kriteria penting apabila memohon pekerjaan.
Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menghasilkan graduan untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi yang menjadikan ia institut pengajian tinggi dengan kadar pengangguran paling rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.
Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menghasilkan graduan 
untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi 
yang menjadikan ia institut pengajian tinggi dengan kadar 
pengangguran paling rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight
Kajian KPRU kemudian membandingkan dan menganalisa penemuan dari setiap tahun bagi mengenal pasti trend pengangguran di kalangan graduan.

Selain daripada pola yang dinyatakan di atas, Oii berkata data mendedahkan bahawa kadar pengangguran di kalangan belia berumur antara 20 dan 24, termasuk graduan dan bukan graduan, meningkat dan kekal sama sejak 1998 -  tahun di mana Krisis Kewangan Asia berlaku.

Ia kekal pada kadar yang sama iaitu antara 7% dan 10% dari 1998 hingga 2015, tanpa mengira kadar pertumbuhan ekonomi, kata Ooi.

Selepas menolak bilangan graduan baru yang tidak aktif mencari kerja, Ooi berkata kadar sebenar granduan yang menganggur ialah di antara 24% dan 28% antara 2008 dan 2015.

Penemuan yang lebih membuka mata ialah latar belakang graduan yang menganggur. Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah merupakan lima negeri berpendapatan rendah yang mempunyai bilangan graduan menganggur tertinggi.

Kadar pengangguran graduan di Kelantan ialah 34.8%, diikuti Sabah pada 34% Terengganu (33.2%) Perlis (27.7%) dan Pahang (27.4%).

Sebaliknya, kadar pengangguran graduan di Putrajaya adalah yang terendah pada 14.5%, diikuti Kuala Lumpur dan Selangor pada 18.6%, Pulau Pinang (21%) dan Johor (22.9%).

Di peringkat universiti pula, kadar pengangguran graduan direkodkan di:

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 46.4%, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 44.5%, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) 43.3%, Universiti Malaysia Sabah (UMS) 42.6% dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 40.9%.

Pusat pengajian tinggi yang mencatat rekod pengangguran terendah ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 10.6%.

"Ini kerana UPSI menghasilkan graduan untuk bidang pendidikan yang mempunyai permintaan tinggi," kata Ooi.

Selepas UPSI, dua institusi dengan kadar pengangguran paling rendah adalah di Selangor - Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 18.8% dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) pada 19.9%.

Ini diikuti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor pada 20.1%, Universiti Malaya (UM) pada kadar 21.2%, dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pada 22.2%.

Ooi bagaimanapun, tidak dapat mengatakan sama ada perbezaan kadar pengangguran disebabkan oleh kualiti pendidikan di universiti ini, yang seterusnya menghasilkan graduan lebih baik atau kurang terlatih.

"Ini adalah sesuatu yang perlu kita siasat dalam satu lagi kajian. Buat masa ini, 3P dalam pengangguran di kalangan siswazah mungkin berlaku kerana dua sebab.

"Pertama, negeri berpendapatan rendah tidak mampur menawarkan peluang pekerjaan mencukupi bagi graduan negeri terbabit sehingga memaksa mereka berpindah ke negeri yang kaya, seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kedua, apabila graduan dari negeri berpendapatan rendah mencari kerja di negeri kaya ini, mereka tewas dengan graduan tempatan yang mempunyai modal atau hubungan sosial yang lebih baik," tambah Ooi.

Pemimpin Umno kini sombong, ‘kaki tak cecah bumi’, kata Rais

Pemimpin Umno kini sombong, ‘kaki tak cecah bumi’, kata Rais
Jho Low perlu disiasat demi maruah negara, undang-undang berita palsu dibuat dengan tergesa-gesa sehingga menimbulkan kebimbangan senjata makan tuan di masa depan, kata Rais Yatim hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PEMIMPIN veteran Umno, Dr Rais Yatim meneruskan kritikannya terhadap parti itu, mengatakan pemimpinnya kini “sombong” dan mudah melenting apabila ditegur.

Penasihat sosiobudaya kerajaan bertaraf menteri itu menjawab kembali kritikan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa yang mengatakan beliau dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz sebagai “out of touch” dalam urusan pentadbiran dan kerajaan.

“Memang senang tuduh kami sudah ‘lost touch’ dengan keadaan akar umbi. Yang dimaksudkan dengan ‘lost touch’ itu agaknya ialah ‘kaki dah tak cecah bumi’.

“Ku semangat! Sebenarnya para pemimpin kita lah yang ‘kaki dah tak cecah bumi’. Sombong, gah tinggi dan tak suka ditegur; disanggah sikit melenting,” kata Rais dalam surat terbuka kepada Annuar yang disiarkan dalam akaun Facebooknya awal pagi ini.

Dalam kenyataannya semalam, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata, Rais, 75, dan Rafidah, 74, turut menghidap “sindrom pasca persaraan” akibat setelah sekian lama memegang kedudukan penting dalam kerajaan.

“Daripada rungutan mereka, ternyata mereka sudah ‘out of touch’ dengan urusan pentadbiran dan kerajaan.

“Mereka juga kelihatan masih terikat dengan pendewaan personaliti (personality cult) bos lama yang juga bos saya dulu,” kata Annuar merujuk kepada bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad.

Dalam jawapan balas dalam surat terbukanya, Rais mengingatkan Annuar beliau merupakan individu yang menegur dan tidak berkecil hati sekiranya “ditegur dan dihempas pulas”.

“Sebenarnya semua hal yang di bangkitkan itu sudahpun saya sampaikan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melalui saluran hormat, iaitu:

• Kenapa Jho Low (Low Taek Jho) harus disiasat demi maruah negara. Dia tak boleh lebih tinggi daripada Malaysia dan Umno. Perlakuan tutup buku sebelum disiasat tidak sejajar dengan Rukunegara dan semangat Perlembagaan.

• Jawapan kepada semua ungkitan antarabangsa dan domestik tentang 1MDB mesti dihurai dengan jelas.

• Rang Undang-undang Antiberita Tak Benar boleh jadi senjata makan tuan kemudian kerana dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam darihal implikasi konflik hak dan perundangan. Bila sudah tak berkuasa nanti (barang dijauhi Allah), baru tahu langit dan bumi tinggi-rendah!

• Keutamaan keutuhan undang-undang wajib dipertahankan

• Budaya Tinggi dalam parti dan kerajaan wajib diberi penegasan utama.

• Perjuangan anti-rasuah mesti atas asas Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan – patut dan adil kesaksamaannya,” katanya.

Rais dan Rafidah sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran Najib terutamanya selepas kapal mewah The Equanimity yang dikaitkan dengan Jho Low dan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dirampas pihak berkuasa Indonesia atas permintaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

Rais, Rafidah dan Annuar pernah berada dalam Kabinet Dr Mahathir.

Rais pernah menentang Dr Mahathir ketika bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Parti Melayu Semangat 46 selepas perpecahan berlaku dalam Umno pada akhir 1980an.

Ketakutan Pakatan DAP Terhadap Persempadan Semula Bukti Tsunami Melayu Tidak Wujud – Dr Kamarul


 

 
 

Sungguh melucukan sekali mendengar hujahan Pengarah Pilihan Raya Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, yang menentang kuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Asas yang beliau gunakan untuk berbuat demikian, dan untuk mencabar Ahli-Ahli Parlimen dari MCA, MIC dan GERAKAN supaya turut menentang persempadanan semula kawasan pilihan raya ini, adalah kerana ia akan mengubah beberapa kerusi Parlimen yang sebelumnya adalah kawasan campuran menjadi kawasan majoriti Melayu.

Empat contoh yang beliau berikan ialah kerusi P74 Lumut yang kini memiliki 71% pengundi Melayu berbanding 51% sebelumnya, kerusi P107 Sungai Buloh (sebelumnya P107 Subang) yang kini memiliki 64% pengundi Melayu berbanding 47% sebelumnya, kerusi P109 Kapar yang kini memiliki 69% pengundi Melayu berbanding 51% sebelumnya, dan kerusi P124 Bandar Tun Razak yang kini memiliki 58% pengundi Melayu berbanding 53% sebelumnya.

Bukankah sebelum ini para pemimpin Pakatan Harapan, termasuklah Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dari PKR, Datuk Saifuddin Abdullah, sendiri yang giat mewarwarkan kononnya tsunami Melayu yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir akan memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU 14?

Kalau sudah pasti yang tsunami Melayu yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir akan memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU 14 kenapa pula perlu takut dengan pertambahan kerusi majoriti Melayu dan kenapa pula perlu diheret Tun Dr Mahathir turun berdemo bagi menentang persempadanan semula kawasan pilihan raya pagi tadi?

Atau apakah para pemimpin Pakatan Harapan ini sekadar sembang saja lebat untuk menipu rakyat kononnya Pakatan Harapan boleh menang dalam PRU 14 sedangkan mereka sendiri sebenarnya tahu tsunami Melayu ini tidak wujud?

Lebih melucukan ialah bila Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar, bangun menegur Dr Ong Kian Ming kerana sekadar membaca teks ucapan yang disediakan lebih awal sahaja dengan berkata “baca macam budak sekolah aje”.


Pandikar Tak Nampak ‘Hantu’ Kit Siang Masuk Dewan Rakyat





KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengambil sikap tidak memperdulikan kehadiran Lim Kit Siang di Dewan Rakyat, sehari selepas beliau memerintahkan ahli Parlimen Gelang Patah itu keluar dewan ketika kecoh bantahan terhadap persempadanan semula kawasan mengundi.

“Kalau Speaker sudah beri arahan kepada Yang Berhormat dan berdegil untuk keluar, saya akan ambil tindakan tutup mata. Saya tidak nampak dia di dalam.

“Dia tidak boleh ambil bahagian, dia tidak boleh bercakap. Nanti kalau ada apa-apa pun, saya akan duduk bersabar hingga anda semua puas. Speaker dan timbalan saya akan menutup mata,” kata Pandikar.

Lim hadir walaupun Pandikar semalam memutuskan menggantung beliau sebagai ahli dewan selama 6 bulan.

Pada masa sama, Pandikar turut tidak memperdulikan Lim yang menuntutnya menjelaskan mengenai tempoh penggantungannya itu, sama ada sehari atau kekal dengan tempoh 6 bulan.

“Saya mahu tanya, apa penjelasannya adakah sehari atau 6 bulan,” kata Lim.

Sebelum itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Setiu-Umno) menggesa Lim diambil tindakan selepas ingkar arahan Pandikar semalam.

“Semalam, Tan Sri sudah buat keputusan arah Gelang Patah keluar dan hari ini dia masih ada di sini lagi. Ini satu perbuatan tidak senonoh.

“Saya minta supaya pihak Speaker ambil tindakan di bawah Peraturan Mesyuarat 44(5) bahawa jika seseorang itu digantung, dia tidak boleh ambil bahagian hingga tempohnya tamat.

“Kini, Gelang Patah seorang yang begitu senior dan beri contoh atas perkara yang tidak senonoh,” katanya.

‘Hantu’

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar turut menggelar Lim sebagai hantu kerana mendakwa tidak “melihat” Lim tetapi hanya mendengar suaranya sahaja.

Ia ketika Noh mengemukakan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

“Saya 23 tahun di Dewan Rakyat, suara itu biasa saya dengar tetapi saya tidak nampak. Mungkin hantu, sebab hantu sahaja yang tidak faham bahasa, manusia faham bahasa,” kata Noh.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan Lim digantung tugas selama 6 bulan mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (3) kerana enggan mematuhi arahan speaker.

Pandikar berkata, keputusan menggantung dan mengarahkan Lim keluar dewan kekal.

“Tindakan sudah saya buat, YB tahu kuasa Speaker. Yang berlaku di Dewan Rakyat sekarang ini buat saya sedih, semua dipolitikkan.

“Saya telah buat keputusan, keputusan saya yang ketiga adalah saya tangguhkan Dewan buat sementara waktu, selepas itu arahan untuk menggantung dan Gelang Patah (Lim) keluar diteruskan.

“Berfikirlah, saya akan arahkan polis untuk masuk ke sini. Siapa YB enggan (keluar) akan diangkat keluar, selepas itu persidangan akan diteruskan.” katanya – FMT

LIHAT VIDEO DI SINI 

Ucapan ‘Jika saya Tuhan’: Hanipa akan saman komentar golongan agama yang jatuhkan hukum

Ucapan ‘Jika saya Tuhan’: Hanipa akan saman komentar golongan agama yang jatuhkan hukum


Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada komentar golongan agama terhadap kenyataannya di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Beliau berkata, sepatutnya golongan agama yang mahu membuat sebarang komen terhadap kenyataannya mengenai ‘Jika saya Tuhan…” sepatutnya mendengar penuh kandungan ucapannya itu di Parlimen sebelum menjatuhkan hukum.

“Untuk golongan agama yang jatuhkan hukum ke atas saya secara tidak adil, saya tidak teragak agak untuk menyaman anda!

“Bagi saya, bila golongan agama yang begitu cepat keluarkan hukum ke atas seseorang seperti saya dalam keadaan mereka tak pernah berhubung dengan saya dan paling kurang membaca keseluruhan ucapan saya.

“Saya anggap mereka lagi berbahaya dari golongan yang jahil. Kenapa? Sebab mereka bagi saya, ada ilmu tapi malangnya tak guna ilmu dengan betul. Maaflah jika saya kasar sikit,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada komentar pemimpin Pas dan Mufti Negeri Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Hanipa turut berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan atau memohon maaf setelah isu itu menjadi perdebatan banyak pihak diluar dewan rakyat dan media massa.

“Ada pihak tertentu pohon saya tarik balik kenyataan saya dan nasihat saya agar mohon maaf.

“Saya hormati niat suci mereka. Namun saya pohon jutaan maaf kerana saya tak boleh nak buat begitu.

“Ini kerana mereka yang jatuhkan hukuman agama ke atas saya telah berlaku amat tidak adil ke atas saya.

“Saya tak akan tarik balik kenyataan saya dan ‘I am insyaAllah ready to fight back even alone’.

“Cukup Allah is my helper and my solace. Sebagai peguam yang alhamdulillah banyak pengalaman kendalikan kes saman fitnah, saya ingin tegaskan meskipun saya tidak gemar saman orang untuk ‘my personal case’.

“Namun untuk isu ini, saya tidak teragak-agak untuk saman mereka yang jatuhkan hukuman ke atas saya secara tidak adil.

“Saya tak kisah insyaAllah setinggi mana pun ilmu dan title anda. Saya insyaAllah bersedia untuk berhadapan dengan anda di mahkamah dunia atau di mahkamah akhirat.

“Untuk orang biasa atau cyber trooper, mereka bukan lawan saya. Dan saya tidak ada masalah nak maafkan mereka jika mereka bersalah kepada saya,” terangnya.

Beliau turut melampirkan kandungan penuh ucapan melalui hansard Parlimen yang menimbulkan perbalahan beliau denganAhli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeeez Abdul Rahim ketika perbahasan mengenai RUU AntiBerita Tidak Benar 2018.

“Dalam Hansard itu jelas episod ini bermula dari Yb Baling(Umno) yang keluar kenyataan “kamu ni Tuhankah?”… Tapi nampaknya golongan yang jatuhi hukum ke atas saya seolah olah “ignore” kenyataan Yb Baling itu?

“Bila ada soalan begitu dari Baling, it is natural untuk pendebat seperti saya menjawab di mana antaranya saya menjawab “kalau saya Tuhan…..” Akan tetapi, kenyataan saya bukan berhenti setakat itu sahaja.

“Laporan Hansard itu jelas melaporkan saya juga menyambung selepas ayat “kalau itu” dengan ayat berikut ” Akan tetapi sebab saya tidak Tuhan, Tuhan jadikan jugalah orang macam kamu supaya orang lain nampak inilah yang patut kita lawan”. It is right there in the Hansard!

“Malangnya, penjatuh hukum agama nampaknya hanya berminat ambil sekerat dan tinggalkan yang baki lagi kenyataan saya. Adil ke begitu?,” ujarnya.

Menurut Hanipa lagi, tindakan golongan agama itu dianggapnya sebagai mencemarkan proses untuk menjatuhkan ‘hukum’ dalam perundangan Islam.

“Bagi saya, baik dalam fatwa atau dalam penghakiman mahkamah (sivil atau shariah) menghukum cara begitu bukan sahaja tak betul malahan saya berani kata ianya amat zalim.

“Saya juga alhamdulillah berpeluang belajar syariah dan belajar ‘adabul qada’ fi al-Islam (The ethics of judgement in Islam) dan ‘turuq al-ithbat’ dan saya juga pengamal undang-undang selama 23 tahun. Jadi saya agak mahirdengan proses menjatuhkan hukum,” terangnya.

Beliau mengembalikan pengalaman ketika mewakili Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyaman akhbar Berita Harian.

“Yb Pokok Sena menyaman akhbar Berita Harian yang dituduh di muka hadapan akhbar Berita Harian tersebut kononnya beliau mengajak ahli Parlimen BN bertumbuk.

“Saya wakili Yb Pokok Sena saman akhbar itu bagi kes fitnah ( defamation). Alhamdulillah kami menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan Yb dapat gantirugi yang agak besar.

“Saya masih ingat akhbar Berita Harian gunakan firma yang besar dan terkenal di negara ini – Shearn Delamore.

“Yang bestnya dalam kes itu ia juga berkaitan isu perbahasan Ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat- masa itu usul perbahasan berkaitan isu keganasan polis dalam perhimpuunan aman di Lebuhraya Kesas berhampiran Jalan Kebun!

“Yb Pokok Sena juga jadi mangsa laporan akhbar proksi BN yang tidak tepat. Memang jika dilihat Hansard, saya akui Yb Pokok Sena ada berkata ” saya bersedia bertumbuk..”, tapi kenyataan itu sebagai response kepada tindakan seorang ahli Parlimen BN yang lebih awal menunjuk isyarat tangan ajak Yb Pokok Sena keluar dewan untuk “bertumbuk” sehingga ada Ahli Dewan yang lain kata pada Yb BN itu perkataan “rileks Man!”.

“Dalam kes itu saya hujahkan kenyataan Yb Pokok Sena harus dilihat ikut konteks sebenar dan wajib dibaca secara keseluruhan. Pause sebentar.

“Sebab itu jika kita baca tafsir Al Quran para mufassirin selalu guna perkataan “siyaqul ayat”( konteks ayat ) atau contextual reading semasa menafsir ayat suci al-Quran.

“Hakim bersetuju dengan hujah saya dan alhamdulillah kami menang. Namun pemberitaan fitnah itu telah mengakibatkan Yb Pokok Sena dipandang serong oleh orang ramai seolah olah beliau dianggap gangster dan kaki pukul.

DAP umumkan Sheikh Omar sebagai calonnya di Paloh, Johor

Sheikh Omar…calon DAP Paloh





Sheikh Omar Ali telah diumumkan DAP sebagai calon Pakatan Harapan di untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Paloh di Johor dalam PRU 14 ini.

Pengumuman bekas aktivis Pas yang menyertai DAP sebagai calon itu diumumkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Sheikh Omar, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu dipilih oleh DAP untuk kerusi itu.

Pusat pilihan raya DAP Paloh dibuka di kawasan rumah kedai yang sebelum ini terbakar.

Sheikh Omar adalah bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya. Beliau adalah aktivis PAS sebelum ini dan menyertai DAP apabila halatuju politik PAS berubah.

Sementara itu, di Johor Jaya, DAP akan mengekalkan calonnya Liow Cai Tung di situ.

Ia turut diumumkan oleh Lim Kit Siang.

Sempadan baharu pilihan raya gariskan kelemahan BN

Sempadan baharu pilihan raya gariskan kelemahan BN
Secara umumnya, cadangan persempadanan semula yang diterima di Dewan Rakyat dengan undi 129-80 itu merupakan gerimander paling melampau dan menunjukkan sikap buruk BN dan parti utamanya, Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
RANG undang-undang persempadanan semula yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam menyebabkan ramai tertanya-tanya jika Barisan Nasional (BN) sebenarnya kuat seperti digambarkan parti itu.

Secara umumnya, cadangan yang diterima di Dewan Rakyat dengan undi 129-80 itu merupakan gerimander paling melampau dan menunjukkan sikap buruk BN dan parti utamanya, Umno.

Orang boleh menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun realitinya, individu dalam panel tersebut dipilih dan dikekalkan oleh kerajaan, bukannya melalui keperluan dalam peruntukan asal Perlembagaan Persekutuan.

Tujuan persempadanan baharu adalah untuk mengurangkan ketidakadilan, supaya rakyat Malaysia boleh menikmati sistem satu rakyat satu undi. Itulah maksud masyarakat demokratik – keadilan dalam undang-undang dalam kehidupan.

Tapi lihatlah pada agihan tidak seimbang dalam rang undang-undang persempadanan semula ini, di mana ketidakadilan bukan saja dikekalkan malah bertambah buruk.

Sebagai contoh, kawasan paling kecil di Selangor, Sabak Bernam mempunyai jumlah pengundi dalam daftar pemimlih PRU13 – seramai 37,126 pengundi berbanding Kapar yang mempunyai 146,317 pengundi.

Dalam daftar pemilih terbaharu untuk PRU14, Sabak Bernam masih kekal dengan 37,126 pengundi tetapi satu kerusi parlimen baharu Damansara (sebelum ini dikenali dengan nama Petaling Jaya Utara) kini mempunyai 150,439 pengundi.

Pengundi dalam kawasan baharu Damansara telahpun membuat bantahan ke atas pembentukan kawasan itu, yang dipersetujui oleh SPR. Namun kemudiannya suruhanjaya itu menukar keputusan dan mengekalkan kerusi tersebut.

Bagaimanakah kesannya pada SPR atau pada kerajaan yang memerintah?

Ia menunjukkan bahawa dalam pertandingan yang adil dan tanpa bergantung kepada sumber negara yang begitu besar, pemimpin BN tiada keyakinan ke atas parti dan parti komponennya untuk berdepan satu gabungan parti pembangkang yang dipimpin individu berusia 93 tahun.

Berapa sukarkah untuk menewaskan lelaki ini dan juga ahli politik yang pernah berseteru dengannya dalam pilihan raya sebelum ini?

Adakah BN terlalu takut kepada lelaki ini? Sebelum ini mereka menyanjung dan menikmati pelbagai pindaan Perlembagaan dan muslihat politiknya sepanjang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Lagipun, apa yang sedang dilakukan bukanlah perkara baharu. Ia telah dilakukan dahulu oleh perdana menteri BN lain dan menjadikan mereka sebagai sebuah kerajaan untuk sekian lama.

Mana-mana ahli politik yang mendakwa dirinya berbeza dari lelaki berusia 93 tahun ini perlu menunjukkan tindakan lebih baik. Berilah ruang untuk pertandinan yang adil di padang yang sama rata dan bertandinglah dengan polisi untuk membentuk negara yang lebih baik.

Tapi itu tentunya sangar sukar, bukan? Mengubah sempadan pilihan raya lebih mudah untuk memastikan kekal berkuasa – tidak kiralah jika lawannya sudah sangat tua dan tidak dapat meyakinan sesiapa bahawa beliau dapat menyelematkan mereka dari lara politik Malaysia.

Umno Sabah harap dapat kekal sokongan akar umbi Bumiputera Islam

Umno Sabah harap dapat kekal sokongan akar umbi Bumiputera Islam
Umno Sabah melihat Warisan sebagai musuh politik terbesar di beberapa kerusi seperti di Semporna, Lahad Datu dan Sandakan. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
SEMUA sedia maklum bahawa kaum Melayu beragama Islam adalah blok pengundi paling penting di Semenanjung Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Namun, berlainan pula situasinya di Sabah, apabila Bumiputera yang beragama Islam dan terdiri daripada 52% penduduk di negeri itu bakal menjadi penentu nasib parti yang bertanding.

Parti pembangkang Sabah iaitu Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh bekas pemimpin berpengaruh Umno Shafie Apdal, sedang merampas sokongan masyarakat itu daripada Barisan Nasional (BN) Sabah.

Sumber Umno Sabah mengakui yang parti tersebut akan berdepan waktu sukar untuk menarik sokongan masyarakat Bumiputera Islam dari suku Bajau dan Suluk ekoran pengaruh kuat Shafie.

Umno Subah nampaknya tidak memandang ringan kebolehan Shafie. Seorang pemimpin Umno negeri berkata parti berkenaan akan bertanding seperti "underdog" bagi memastikan sokongan pengundi tradisi berpihak kepada mereka.

Umno Sabah melihat Warisan sebagai musuh politik terbesar di beberapa kerusi seperti di Semporna, Lahad Datu dan Sandakan

Umno Sabah memenangi 15 daripada 25 kerusi Parlimen dan 31 daripada 50 kerusi negeri pada PRU13.

Bumiputera Islam merupakan pengundi majoriti di 11 kerusi Parlimen dan 28 kerusi negeri.

Pada Oktober 2016, Umno hilang kuasa di kerusi Parlimen Semporna dan kerusi negeri Sulabayan selepas Shafie Apdal (Ahli Parlimen Semporna) dan Jaukan Sambokong (Adun Sulubayan) meninggalkan parti tersebut dan menubuhkan Warisan.

Shafie, yang meninggalkan Umno pada Julai 2016, kini merupakan presiden Warisan sementara Juajan adalah naib presidennya.

Ketua Umno dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin percaya Warisan akan memberikan saingan sengit kepada Umno dalam PRU akan datang, namun berkata yang parti tersebut tidak akan dapat menewaskan BN Sabah.

Umno Sabah, kata Bung Mokhtar, telah memulakan persiapan untuk pilihan raya.

PRU14 pada pertengahan minggu?

PRU14 pada pertengahan minggu?
Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April. Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut. – Gambar EPA
 
PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka akan dijalankan pada pertengahan minggu, dalam masa sebulan selepas Barisan Nasional (BN) melancarkan manifestro pada 7 April, menurut beberapa sumber.

Difahamkan, Parlimen akan dibubarkan selepas persidangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tamat pada 5 April.

Mandat yang diperolehi BN akan berakhir pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh tersebut.

"Kami menjangkan pembubaran Parlimen menjelang 7 April. Kemudian tinggal kira-kira sebulan sahaja sebelum pilihan raya diadakan, sejurus sebelum bulan puasa yang akan bermula pada pertengahan Mei,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa menentukan tarikh penamaan dan pengundian, namun secara lazimnya parti pemerintah akan mencadangkan waktu pilihan raya. Malaysia tiada undang-undang yang menetapkan tarikh pilihan raya.

Jumlah keluar mengundi mungkin merosot sekiranya PRU14 diadakan pada pertengahan minggu memandangkan pengundi di luar negara, terutama di Singapura, Hong Kong dan Australia biasanya pulang mengundi sekiranya ia dilakukan pada hujung minggu.

Kempen yang dijalankan oleh masyarakat sivil pada 2008 dan 2013 menyebabkan BN kehilangan majoriti dua pertiga yang membolehkannya meluluskan undang-undang dengan mudah.

Pilihan raya 2008 diadakan pada hari Sabtu dengan jumlah keluar mengundi 75.99 % dan pilihan raya umum 2013 pula pada hari Ahad yang menyaksikan 84.4 peratus keluar mengundi.

Kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 menyatakan bahawa pembangkang akan menang sekiranya lebih 80 peratus keluar mengundi.

Peluang kemenangan itu kini semakin sukar kerana sempadan baharu kawasan pilihan raya akan memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.
Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.
Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr 
Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan 
raya umum 1982. – Gambar fail The Malaysian Insight
Walaupun pada akhir-akhir ini pilihan raya umum biasanya dilakukan pada hujung minggu, dua pilihan raya umum pertama – pada 1955 dan 1959 – diadakan pada hari Rabu.

Perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Dr Mahathir Mohamad, meraih mandat pertamanya dalam pilihan raya umum 1982.

Pilihan raya itu berlarutan dari Khamis, 22 April sehingga Isnin, 26 April ekoran masalah logistik di negeri-negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir kini memimpin gabungan pembangkang untuk PRU14, walaupun beliau menyokong Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum 2013.

Rekod menunjukkan pilihan raya umum pada 1995 dan 1999 juga diadakan pada hari Isnin.

Isu melibatkan masalah pengundi di luar negara menjadi perhatian susulan kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ke atas tawaran syarikat penerbangan Cathay Pacific yang menawarkan diskaun surcaj kepada pengundi yang mahu menukar tarikh penerbangan untuk pulang mengundi.

Nur Jazlan dalam kenyataannya di Twitter mendakwa, tawaran itu menununjukkan bahawa syarikat berpengkalan di Hong Kong itu menyokong usaha untuk menukar kerajaan.

Kenyataan itu seterusnya meraih kritikan para pengguna media sosial yang menganggap Nur Jazlan mendakwa warga Malaysia di luar negara lebih cenderung menyokong pembangkang.

Cathay Pacific juga menafikan dakwaan tersebut. Namun Nur Jazlan terus mendesak agar syarikat tersebut menyatakan sekiranya ia akan turut berbuat demikian untuk pengundi negara lain.

Ads by Kiosked

MP Sepang Ancam Saman Golongan Agama!


MYNEWSHUB
Mohamed Hanipa Maidin




KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Mohamed Hanipa Maidin mengancam mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap golongan agama yang menyeru beliau supaya bertaubat.

 

Beliau yang juga pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa golongan agama itu lagi berbahaya daripada golongan jahil kerana meminta beliau bertaubat disebabkan membuat kenyataan “kalau aku Tuhan..” di Dewan Rakyat.

“Untuk golongan agama yang jatuhkan hukuman ke atas saya secara tidak adil , saya tidak teragak agak untuk menyaman anda!!!

“Saya anggap mereka lagi berbahaya dari golongan jahil. Kenapa? Sebab mereka, bagi saya, ada ilmu tapi malangnya tak guna ilmu dengan betul. Maaflah jika saya kasar sikit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Antara yang memberi nasihat supaya beliau bertaubat termasuk Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang dilihat umum cenderung menyebelahi Pakatan Harapan malah turut meminta beliau berbuat demikian.

Mohamed Hanipa di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu berkata: “Tolong Jangan cakap pasal agamalah. Telinga saya dengar ni gelilah..geli”

Beliau berkata demikian apabila dinasihatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya tidak bersikap bongkak dan takbur kerana ia dilarang Islam.

Hanifa tanpa menghiraukan nasihat itu seterusnya berkata: “Kalau saya Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan”

Kenyataan Hanifa itu mendapat perhatian wakil rakyat PAS, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang bangun menegurnya.

Mohd. Khairuddin menjelaskan kenyataan Hanifa kalau beliau Tuhan itu boleh merosakkan akidah seseorang umat Islam.

Hanifa menyindir Mohd. Khairuddin yang juga ahli majlis dewan ulama PAS sebagai penunggang agama.

Perang mulut antara wakil rakyat Pakatan Harapan dan PAS mengenai akidah Islam berlarutan selama beberapa minit

Mohamed Hanipa dalam kenyataan hari ini namun mempertahankan tindakan beliau mengeluarkan kenyataan “kalau aku Tuhan”

Beliau mendakwa berkata demikian kerana seorang wakil rakyat BN menyindirnya “kamu ni Tuhankah?”

Sindirian itu dibuat kerana Mohamed Hanipa membayangkan Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 dalam ucapannya.

“Saya juga menyambung selepas ayat “kalau itu” dengan ayat “Akan tetapi sebab saya tidak Tuhan, Tuhan jadikan jugalah orang macam kamu supaya orang lain nampak inilah yang patut kita lawan”
“Saya tak akan tarik balik kenyataan saya,” katanya lagi.

Mohamed Hanipa mendabik dada beliau pernah mempelajari syariah dan ” adabul qada’ fi al-Islam” serta “turuq al-ithbat” malah seorang pengamal undang-undang selama 23 tahun. – MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO D SINI

Pakar Kenduri Malaysia didakwa tipu ratusan ribu ringgit

Kasthuri Jeevendran
 
Ben Liew bersama beberapa mangsa yang didakwa telah di tipu oleh sebuah syarikat perancang perkahwinan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.


KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat perancang perkahwinan yang popular dalam laman sosial, Facebook, dikenali sebagai ‘Pakar Kenduri Malaysia’ (PKM) didakwa telah menipu para pelanggannya sehingga mencecah hampir RM500,000 dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Biro Aduan Parti Gerakan, Ben Liew Pok Boon berkata, beliau menerima aduan daripada sembilan mangsa yang dipercayai telah ditipu oleh syarikat terbabit yang didalangi seorang lelaki Melayu bernama Mohammad Lukman Ashaari.

Jelas Ben Liew, rata-rata mangsa di tipu selepas individu terbabit menerima bayaran penuh sebelum menghilangkan diri pada hari perkahwinan.

“Selepas biro aduan kita membuat pendedahan tentang penipuan syarikat ini, saya secara peribadi telah menerima panggilan tidak kurang daripada sembilan orang mangsa yang di tipu berbelas dan berpuluh ribu ringgit.

“Selepas membayar jumlah yang diminta, lelaki itu atau pekerja syarikat itu akan bertindak menghilangkan diri tanpa membayar mana-mana pihak lain seperti jurukamera, mak andam dan sebagainya.

“Apa yang lebih menyedihkan apabila perkhidmatan katering yang juga di bawah syarikat ini dikenali sebagai ‘Hanani Kitchens’ juga tidak menghantar makanan seperti dijanjikan pada hari majlis. Mereka akan bertindak menutup telefon serta menghilangkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri beberapa orang mangsa yang mengalami kerugian berjumlah hampir RM200,000.

Menurut salah seorang mangsa, Hapizah Abdul Ghani, beliau kerugian sebanyak RM17,350 pada hari perkahwinan anaknya pada 24 Mac lalu.

Jelasnya, PKM pada saat-saat akhir, tidak menghantar perkhidmatan katering sehingga ratusan tetamu yang hadir hampir tidak dapat menikmati makanan tengahari.

“Bayangkan, kami terpaksa memasak pada saat-saat akhir dan membeli lauk pauk di semua kedai merata tempat di sekitar Pandan Jaya dan Ampang. Bukan sahaja malu, saya amat kecewa kerana terlampau percayakan syarikat perancang ini.

“Saya amat kecewa kerana ini merupakan perkahwinan pertama dalam keluarga kami. Bayangkan betapa terujanya kami, tetapi seolah-olah berakhir dengan tragedi seperti ini. Saya juga cuba menghubungi syarikat ini tetapi mereka menghilangkan diri.

“Saya bersama anak kemudian membuat laporan polis terhadap syarikat ini sebelum bertindak membuat aduan di Biro Aduan Gerakan di sini hari ini,” katanya yang menangis teresak-esak.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 31 Mac ini, Mohamad Faez Mohd Zamberi,26, terpaksa berputih mata apabila rugi hampir RM14,200.

“Saya sudah tidak tahu bagaimana mahu selesaikan perkara ini kerana perancang perkahwinan saya hanya mendiamkan diri serta hilang begitu sahaja. Ibu bapa saya hanya mampu melakukan kenduri doa selamat menggantikan majlis perkahwinan seperti yang diimpikan kerana segala wang telah diberikan kepada syarikat ini.

“Apa yang lebih menyakitkan adalah, mereka telah meminta saya membayar dengan cepat supaya mendapat potongan harga sehingga 10 peratus, kerana percaya saya juga bertungkus lumus mengumpul bayaran itu.

“Mana tahu, mereka akan hilang selepas menerima bayaran tersebut. Majlis dah dekat tapi saya sekeluarga terpaksa berulang alik ke balai polis dan biro aduan pula untuk mendapatkan pengadilan,” ujarnya.

Ben Liew berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bahan bukti selain meminta lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan menjejaki dalang syarikat ini.

“Saya juga mula menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak yang didakwa telah ditipu oleh syarikat terbabit, mungkin jumlah kerugian juga dijangka meningkat,” tegasnya.


Hadi: Persempadanan semula tak jejas peluang PAS menang PRU14






KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya tidak banyak menjejaskan peluang parti itu untuk menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata PAS yakin masih boleh memenangi PRU14 menerusi undi golongan muda.

“Kita meletakkan harapan menerusi undi pengundi muda iaitu kira-kira 30% daripada jumlah pengundi sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis Dialog Rakyat PAS Terengganu hari ini.

Rabu lepas, usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undi belah bahagian dengan menerima sokongan 129 ahli Parlimen dan 80 yang menolak.
Saya tak cadang ubah syor persempadanan semula, kata Najib
Usul persempadanan semula lulus, 129 sokong, 80 tolak

Jangan amal budaya tangguh kes, pesan ketua hakim negara

 
Raus Sharif mengingatkan para hakim tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan wajar.


Ketua Hakim Negara Raus Sharif berkata budaya menangguh kes tidak wujud di mahkamah Australia, UK, AS dan Singapura. (Gambar Facebook)


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif hari ini mengingatkan para hakim supaya tidak menangguhkan kes dengan sewenang-wenangnya tanpa alasan wajar.

Beliau berkata budaya penangguhan kes tidak wujud dan tidak diamalkan dalam sistem Badan Kehakiman itu.

“Pembaharuan yang digerakkan oleh Badan Kehakiman ialah untuk memastikan pendengaran sesuatu kes tidak tertangguh sewenang-wenangnya. Budaya penangguhan kes ini harus kita tangani.

“Di mahkamah di negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura, budaya menangguhkan kes tidak wujud,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan 7 pesuruhjaya kehakiman baharu di Istana Kehakiman di sini.

Raus berkata apabila sesuatu kes ditetapkan untuk perbicaraan, ia mesti didengar dan diputuskan tanpa penangguhan.

Sehubungan itu, beliau menasihati hakim yang baru dilantik dan hakim sedia ada supaya menjalankan pengurusan kes dengan baik bagi memastikan tiada penangguhan berlaku selepas kes ditetapkan untuk perbicaraan.

Menurutnya budaya tiada penangguhan diamalkan di Mahkamah Persekutuan dan kini, ia hampir mencapai 100% kes dikendalikan tanpa penangguhan.

“Misalnya minggu lepas, Mahkamah Persekutuan bersidang di Kota Kinabalu selama 5 hari dari Isnin hingga Jumaat. Terdapat 43 kes yang ditetapkan untuk bicara, semuanya berjalan kecuali 1 di mana kes itu terpaksa ditangguhkan kerana peguam dari Miri tidak mempunyai permit bekerja di Sabah.

“Minggu ini, semasa saya bersidang pada Isnin, Khamis dan hari ini, semua kes berjalan tanpa ada penangguhan. Saya berharap budaya ini diikuti di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi malah di semua peringkat mahkamah,” katanya.

Raus juga menasihati para hakim membuat sesuatu keputusan itu dengan teliti dan adil berlandaskan undang-undang dan fakta yang terbukti serta menyegerakan penghakiman dan memastikan penghakiman itu mudah difahami.

“Jika semua ini tidak diberi perhatian, keputusan kita akan dipersoal dan akibatnya, keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Badan Kehakiman akan terhakis,” katanya.

Raus berkata harapan masyarakat terhadap badan kehakiman adalah sangat tinggi dan kebanyakan keputusan mahkamah diteliti dan diulas oleh masyarakat melalui media cetak dan elektronik.

“Oleh itu, keputusan hendaklah dibuat dengan teliti,” katanya.

Beliau berkata sejak akhir 2008, Badan Kehakiman menggerakkan pembaharuan bagi memastikan badan itu senstiasa efisien, dihormati dan dipercayai masyarakat.

Terdahulu, 7 pesuruhjaya kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia masing-masing.

Mereka ialah Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, 48, yang memulakan kerjaya sebagai timbalan pendakwa raya dan peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan jawatan terakhirnya ialah timbalan ketua eksekutif di Suruhanjaya Sekuriti.

Datuk Mohd Radzi Harun, 53, pula memulakan kerjayanya sebagai majistret dan jawatan terakhirnya ialah sebagai pengerusi Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Kementerian Kewangan.

Lima lagi ialah Datuk Aliza Sulaiman, 51, juga memulakan karier sebagai majistret, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, 52, yang pernah bertugas sebagai timbalan pendakwa raya dan 3 peguam iaitu Wong Chee Lin, 57, Darryl Goon Siew Chye, 61 dan Dr Lim Hock Leng, 55.

Tiada larangan sebegitu semasa saya jadi Exco Kelantan - Takiyuddin

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu tiada larangan terhadap wanita untuk berucap menggunakan mikrofon di Kelantan.
 
"Dulu masa saya jadi exco tak ada macam itu (larangan wanita tak boleh berucap guna mikrofon), saya rasa sekarang pun tak ada.
 
"Malahan artis wanita pun boleh buat persembahan untuk penonton wanita," katanya dipetik Malaysiakini.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang wanita- Ameera Aida- yang mendakwa dia dihalang menjadi pengacara bagi sebuah program yang melibatkan kanak-kanak di Kelantan.
 
Ameera Aida mendakwa, dia ditugaskan untuk menjadi pengacara selama lima hari namun dipendekkan kepada dua hari kerana larangan sebuah majlis perbandaran di Kelantan.
 
Menulis di Twitternya, Ameera berkata dia dimaklumkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pengacara kerana suara mereka adalah aurat walaupun program berkenaan dibuat secara tertutup.
 
Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata beliau bersedia untuk berjumpa dengan Ameera bagi membincangkan tentang perkara berkenaan.
 
"Saya rasa lebih baik periksa fakta tentang kes ini macam mana sebenarnya.
 
“Saya pun bersedia jumpa dengan Ameera ini," katanya lagi.
 
 

Polis kunjungi sebuah sekolah selepas video pelajar bertumbuk tular

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PULAU PINANG: Polis mengambil langkah awal dengan berjumpa pengetua sebuah sekolah menengah di Georgetown di sini hari ini susulan video sekumpulan pelajar bertumbuk yang menjadi tular pagi ini.
 
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam kunjungan ke sekolah itu pagi ini, polis dimaklumkan oleh pengetuanya akan membantu mengesan pelajar yang terbabit dalam pergaduhan tersebut.
 
“Sekolah itu ditutup hari ini kerana cuti peristiwa dan pihak sekolah sudah memberi jaminan akan mengesan pelajar yang terbabit dalam pergaduhan itu dan menghubungi polis segera bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Awal hari ini, satu video sekumpulan pelajar bergaduh dan bertumbuk di muat naik ke laman sosial Facebook dan menjadi tular.
 
Video berdurasi kira-kira dua minit itu membabitkan sekumpulan lebih 10 pelajar sekolah menengah dengan ada daripada mereka bertumbuk sambil disaksikan pelajar lain.
 
Video itu menimbulkan keresahan orang ramai yang mendesak supaya pihak polis menjalankan siasatan segera.
 
 

6,000 unit rumah untuk belia jika BN rampas Selangor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TANJONG KARANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 6,000 unit rumah kepada golongan belia jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir semula Selangor.
 
Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Tan Sri Noh Omar yang mana kesemua pembinaan unit perumahan itu akan dilaksanakan di Rawang selepas kelulusannya telah dipersetujui oleh Kabinet pada bulan lalu membabitkan kerjasama dengan pihak swasta. 
 
Bagaimanapun katanya, kelulusan pembinaan projek itu masih bergantung kepada kebenaran kerajaan negeri kerana urusan tanah adalah di bawah bidang kuasa mereka walaupun projek tersebut akan dibina di atas tanah milik KPKT. 
 
“KPKT akan bina rumah itu ditanah milik KPKT seluas 202 hektar di Rawang. Ketika ini kita hanya menunggu kerjasama dan kelulusan daripada kerajaan negeri. Sama ada cepat atau lambat projek ini disiapkan, ia bergantung kepada kerajaan negeri. 
 
“Namun, jika BN menang di Selangor, maka lagi cepatlah projek itu berjalan dan disiapkan untuk manfaat golongan belia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program turun padang di Kampung Sawah Sempadan, di sini hari ini.
 
 

Pilih kerajaan yang terbukti stabil, seru PM pada rakyat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu memilih kerajaan yang stabil dalam aspek politik dan kepimpinan untuk membangun dan mentadbir negara.
 
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang dipilih masyarakat perlulah menentukan hala tuju negara dengan memberi keutamaan kepada empat dimensi iaitu, politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.
 
Katanya, tanpa kestabilan politik dan kepimpinan yang tidak memahami bagaimana mahu mentadbir serta menentukan keutamaan dalam agenda negara, segala yang dikecapi ketika ini akan hancur dan tidak bermakna lagi.
 
"Contohnya, ada pihak yang menyatakan saiz penjawat awam terlalu besar, hingga ada kertas kerja dibentangkan oleh Penang Institute menyebut hanya 430,000 penjawat awam yang diperlukan berbanding 1.62 juta ketika ini.
 
"Implikasinya, mungkin saiz anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau perkhidmatan pelajaran akan dikurangkan. Segalanya mungkin berlaku jika dasar kerajaan tidak menepati keperluan sebenar.
 
"Lebih buruk daripada itu, seandainya ada pihak yang tidak memahami asal usul sejarah negara, misalnya dicadangkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dibubar kerana tidak sesuai dengan konsep 'Malaysian Malaysia'. Apa implikasi pada kita semua?
 
"Bukan saya sengaja mahu timbulkan isu sensitif, tapi mahu kita sedar dan menghayati hakikat bahawa kita perlu tentukan kepemimpinan paling sesuai dan tepat untuk aspirasi dan masa depan negara kita bersama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM 2018 di sini.
 
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
 
Seramai 460 anggota ATM dan PDRM hadir pada majlis makan malam itu bagi meraikan kerjasama dua agensi keselamatan itu, selain meraikan Sambutan Hari Peringatan PDRM Ke-211 serta pameran NBOS antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, ATM dan PDRM.
 
Walaupun Najib tidak menyebut mana-mana pihak, namun umum mengetahui konsep Malaysian Malaysia adalah prinsip dan agenda politik yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.
 
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemilihan tampuk kepemimpinan yang tepat, khususnya dengan sokongan ATM dan PDRM, akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat di persada antarabangsa.
 
"Malaysia memiliki masa depan yang cerah. Inilah yang mesti kita pertahankan. Kesetiaan kita pada negara tidak boleh berbelah bahagi.
 
"Setiap pada anda semua (anggota ATM dan PDRM) sanggup berkorban apa jua, kerana itu kami kepemimpinan kerajaan amat menghargai sumbangan dan pengorbanan yang tidak terkira.
 
"Saya juga akan mempertimbangkan apa jua yang mampu kita berikan supaya ATM dan PDRM terus berkembang dengan penuh kebanggaan sebagai dua institusi yang penting untuk negara dan masa depan kita," katanya.
 
 

Syamsul Debat beri keterangan skandal isteri orang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Polis sudah merakamkan keterangan penceramah motivasi, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat berhubung dakwaan skandal dengan isteri orang, semalam.
 
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata penceramah berusia 41 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan jam 11 pagi dan memberikan kerjasama.
 
Katanya, Syamsul memberikan keterangan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki dari Johor yang berusia 51 tahun pada Sabtu lalu.
 
"Polis sudah melengkapkan keterangan semua pihak iaitu Syamsul Debat, pengadu dan isteri pengadu yang berusia 39 tahun. Polis setakat ini masih meneruskan siasatan," katanya ketika dihubungi, malam ini.
 
Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya sama ada kes itu ada kaitan dengan seteru politik.
 
"Kita masih menyiasat dan akan merujuk Timbalan Pendakwa Raya sama ada (kes) akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya," katanya.
 
Akhbar pada 27 Mac lalu melaporkan Syamsul Debat pada sidang media di Rahang, di sini memaklumkan terkejut apabila ada laporan mendakwanya mempunyai skandal dengan isteri orang.
 
Syamsul menafikan dakwaan itu malah tidak tahu apa isi kandungan dan siapa yang membuat laporan polis.
 
Beliau ditemani peguam, Datuk T Anandan tidak terfikir ada individu berdendam dengannya kerana setiap hari berinteraksi dengan ramai orang menerusi ceramahnya.
 
Pengadu dalam laporan polis mendakwa penceramah terbabit berkenalan dengan isterinya yang menetap di Johor Bahru melalui Facebook sebelum hubungan bertambah rapat apabila mereka sering berhubung melalui telefon.
 
Lelaki itu mendakwa pada hujung Disember tahun lalu, mereka bertemu di sebuah hotel di Seremban dan penceramah itu meminta wanita terbabit melakukan seks oral dan memberinya sejumlah wang.
 
 

Pramugari Cathay Pacific akhirnya boleh pakai seluar panjang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
HONG KONG: Krew kabin wanita penerbangan Cathay Pacific akhirnya berjaya mendapatkan kelulusan untuk memakai seluar panjang.
 
Syarikat penerbangan Hong Kong itu telah bersetuju staf penerbangan boleh memilih untuk memakai seluar, selepas mendapat tekanan daripada Persatuan Penerbangan Penerbangan Hong Kong Dragon Airlines.
 
Beberapa krew telah mengadu bahawa memakai skirt pendek membuat mereka merasa tidak selesa - terutamanya apabila meletakkan beg di ruang barang di atas pesawat atau mengambil pengangkutan awam ke dan dari tempat kerja.
 
Tetapi perubahan tidak akan berlaku sehingga Cathay Pacific akan menyeragamkan pakaian mereka.
 
Ia mungkin mengambil masa dalam tempoh tiga tahun.
 
"Kami mengalu-alukan dan menghargai keputusan syarikat untuk memberi kami pilihan untuk pakaian seragam," kata Pauline Mak, naib pengerusi persatuan tersebut.
 
Peraturan memakai skirt telah wujud sejakpenerbangan itu diasaskan pada tahun 1946.
 
Krew penerbangan telah meminta reka bentuk semula pakaian kerja mereka pada tahun 2014 - dan mendakwa skirt itu terlalu terdedah yang boleh mendatangkan gangguan seksual.
 
Mak berkata perubahan dasar itu "bukan hanya memberikan kita satu pilihan lagi, tetapi juga memberikan kita perlindungan".
 
 

Ingatkan kucing, rupanya bayi dalam plastik sampah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MIRI: Sikap ingin tahu seorang lelaki apabila melihat plastik sampah bergerak-gerak dan bunyi seakan kucing, membawa kepada penemuan bayi lelaki di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Merpati di sini, malam ini.
 
Dalam kejadian jam 9 malam, bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu ditemui dibuang berhampiran tong sampah berhampiran sebuah restoran dalam pasar raya itu.
 
Sumber berkata, bayi berkenaan ditemui lelaki terbabit berusia lingkungan 50-an yang ketika itu sedang mencari kotak berhampiran tong sampah itu.
 
Katanya, lelaki terbabit musykil apabila ternampak satu plastik hitam berhampiran tong sampah berkenaan yang bergerak-gerak dan terdapat bunyi seakan kucing di dalam plastik itu.
 
"Lelaki terbabit kemudiannya membuka plastik berkenaan kerana menyangka terdapat individu yang membuang anak kucing.
 
"Bagaimanapun, lelaki terbabit tergamam apabila dia menemui bayi di dalam plastik berkenaan," katanya.
 
Katanya, orang awam yang menyedari kejadian itu kemudiannya membalut bayi berkenaan dengan kain sarung.
 
"Bayi berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pasukan paramedik dan dibawa ke Hospital Miri untuk pemeriksaan," katanya.
 
 

Zahid yakin calon BN Johor tidak akan disabotaj

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin tidak akan berlaku unsur sabotaj dalam kalangan parti komponen BN terhadap calonnya di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 ) akan datang.
 
Beliau berkata keyakinan itu adalah bersandarkan kepada kepercayaan beliau terhadap Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mengurus dan memimpin semua parti komponen BN negeri.
 
Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri percaya ramai pihak telah menerima baik perubahan yang akan dilakukan BN iaitu menukar dan menggantikan calon yang tidak berwibawa untuk bertanding pada PRU14.
 
“Saya yakin di bawah kepimpinan (Datuk Seri) Mohamed Khaled, perkara itu (sabotaj) tidak akan berlaku di negeri Johor,” kata beliau ketika ditanya sama ada BN yakin tiada sabotaj akan berlaku ke atas calon BN di negeri itu pada PRU14.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN Johor 2018 di Stadium Tertutup Pasir Gudang, dekat Johor Bahru semalam.
 
Ditanya jika BN sudah memuktamadkan barisan calonnya, Ahmad Zahid berkata majoriti calon sudah dipilih.
 
Bagaimanapun, katanya BN masih melihat kepada beberapa aspek termasuk keupayaan calon, sama ada mereka boleh menang dan berintegriti.
 
“Saya merasakan semua aspek diperincikan bukan hanya soal integriti tetapi soal bagaimana calon itu sudah dikenali di kawasan yang akan diwakili dan bagaimana daya kemenangannya.
 
“Bagaimanapun, di peringkat akhir nanti, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku pengerusi BN) akan memuktamadkan calon setelah membuat perundingan dan ambil kira pandangan pengerusi-pengerusi BN negeri,” kata beliau yang turut berpuas hati terhadap kesiapsiagaan BN Johor dalam menghadapi PRU14.
 
Menurutnya, BN adalah parti yang sentiasa mahukan kepelbagaian termasuk menjadikan orang muda sebagai calon mereka.
Ahmad Zahid berkata ini penting demi memastikan semua golongan masyarakat diwakili dalam BN.
 
Ketika ditanya tentang desas-desus kononnya ada calon BN mungkin bertanding di kerusi Parlimen dan juga kerusi Dewan Undangan Negeri, beliau berkata perkara itu terserah kepada pengerusi BN untuk diputuskan.
 
Berhubung penerimaan mereka yang mungkin tidak dicalonkan semula pada PRU14, katanya ia adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses perubahan serta pembaharuan dan selama ini telah diterima dengan hati terbuka dalam BN.
 
 

Invoke: Persempadanan tak akan jejas sokongan Melayu di Selangor


Rafizi Ramli berkata tinjauan menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu akan kekal bersama pembangkang.


SERDANG: Rafizi Ramli berkata tinjauan terbaharu oleh badan penyelidikannya, Invoke Malaysia, mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan tidak terjejas dengan persempadanan semula terbaru yang diluluskan di Parlimen.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pertandingan 3 penjuru merebut untuk Melayu tidak akan menyebelahi Barisan Nasional kerana gabungan perlu membahagikan 60% undi Melayu mereka kepada 2.

“Ramai penganalisis menggunakan nombor-nombor dalam PRU13 untuk menghasilkan angka yang menunjukkan BN akan meraih kelebihan daripada pertandingan 3 penjuru.

“Ini salah kerana kita tahu dinamik sudah berubah sejak PRU13. Banyak perkara yang berbeza sekarang dan perlu diambil kira.

“Tiada lagi Pakatan Rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pembangkang dan PAS menjadi kuasa ketiga,” katanya.

Tinjauan telefon Invoke yang dijalankan bukan ini mendapati di Selangor, 27.6% responden (pengundi Melayu) memilih Barisan Nasional, PH 20.5% dan PAS 8.5%.

Responden selebihnya tidak menjawab (25%) atau tidak pasti (18%).

Beliau berkata perbezaan dalam tinjauan antara BN dan PH hanya sekitar 7.1%.

“Agak nyata sokongan orang Melayu kepada PH masih agak kuat. Bersama-sama sokongan kuat daripada bukan Melayu, kerusi itu harus bersama PH.

“Soalan profil kita mengecilkan pengundi yang tidak pasti kepada satu pilihan – PH, PAS atau BN.
Kebanyakan mereka cenderung ke arah PH dan tidak mahu Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri.

“Selepas soalan profil ini diajukan, BN meraih 37.6% sokongan, PH 43.7% dan PAS 18.7%,” katanya pada forum mengenai kesan persempadanan semula yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sempadan pilihan raya baharu sudah diwartakan untuk digunakan pada PRU14 selepas diuluskan di Dewan Rakyat.

Rafizi berkata persempadanan tidak akan mengalihkan kerusi majoriti Melayu kepada BN tetapi hanya mengurangkan margin yang dimenangi PH.

“PH masih mempunyai margin yang selesa di kawasan-kawasan ini.”

Rafizi berkata tinjauan menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu akan kekal bersama pembangkang.

“Tinjauan mendapati sokongan Cina untuk BN hanya 5.5%, PH 61.3% dan PAS sifar.

“Dalam kalangan pengundi India, BN mempunyai 19.4% sokongan, PH 42% sokongan dan PAS 0.3%.

“Sebab inilah jumlah keluar mengundi sangat penting kerana kita tahu pengundi Cina bersama PH manakala undi pengundi India di Selangor akan 10% melebihi purata kebangsaan.”

Rafizi menambah persempadanan semula hanya mengakibatkan segelintir kerusi menambah lebih daripada 1% undi Melayu.

“Kita juga perlu mengambil kira peratusan pengundi Cina baharu lebih tinggi berbanding pengundi Melayu baharu.

“Pengundi-pengundi baharu ini akan mengurangkan kesan persempadanan. Ini sesuatu yang tidak boleh dikawal kerajaan dengan melukis semula sempadan kawasan.”

Laporan: India serah perintah ekstradisi Zakir Naik kepada Malaysia

Zakir Naik dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak melarikan diri dari India.


PETALING JAYA: Kerajaan India mengeluarkan perintah ekstradisi kepada Malaysia meminta penghantaran pulang penceramah kontroversi Zakir Naik, lapor Times of India.

Menurut laporan itu, Kementerian Luar Negeri India menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa Malaysia, dan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) sudah melalui semua proses menuntut penghantaran pulang itu.

Pihak berkuasa India menuduh penceramah berusia 52 tahun itu membiayai terorisme. Naik dituduh mengetuai satu persatuan yang menyalahi undang-undang dan menghasut anak muda melakukan keganasan dan menyertai kumpulan militan antarabangsa, seperti IS.

NIA berkata Naik juga secara sengaja menghina kepercayaan penganut Hindu, Kristian dan fahaman Islam lain seperti Syiah, Sufi dan Barelvi, dan ucapan-ucapannya mempengaruhi rekrut kepada perjuangan IS.

NGO Naik yang berpangkalan di Mumbai, Yayasan Penyelidikan Islam (IRF), diharamkan kerajaan India pada 2016.

Laporan itu menambah mahkamah di Kuala Lumpur berkemungkinan sekali mendengar permintaan India itu.

Bagaimanapun, tiada garis masa diberikan tentang bila perintah itu diserahkan kepada Malaysia atau bila mahkamah akan mendengar permintaan itu.

Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya sedia menghantar Naik pulang ke negaranya jika ada permintaan daripada kerajaan India.

Pada November lepas, Naik dilaporkan melantik seorang peguam di Malaysia untuk melawan sebarang perintah ekstradisi daripada India berhubung dakwaan pengubahan wang dan terorisme.

Peguam Shaharudin Ali sudah memaklumkan ketua polis negara dan peguam negara supaya merujuk kepadanya sekiranya ada permintaan seperti itu.

India dijangka menyerahkan bukti dalam bentuk CD dan DVD bagi menunjukkan ia mempunyai kes terhadap Naik yang didakwa menyebarkan kebencian dan menggunakan IRF dan syarikat Harmony Media Pvt Ltd untuk aktiviti anti-nasional.

Naik melarikan diri dari India pada 1 Julai 2016 selepas pengganas di Bangladesh mendakwa mereka mendapat ilham daripada ucapannya.

Dia dilaporkan berlindung di Malaysia dan Arab Saudi, berulang-alik antara 2 negara itu sejak meninggalkan India.

Tolak debat: Guan Eng berhelah lagi, kata Wee Ka Siong

 
Timbalan Presiden MCA itu berkata, sebagai wakil rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan berkaitan pembinaan terowong berkenaan.


Wee sedia berbincang secara aman untuk bertukar fikiran jika Lim tidak mahu berdebat.


BUTTERWORTH: Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat mengenai isu terowong dasar laut dengan pelbagai alasan hanya helah semata-mata, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Malah, katanya, beliau diperlekehkan kerana tidak layak untuk berdebat atas kapasiti timbalan presiden MCA sedangkan perkara ini bukan mengenai dasar sesebuah parti, tetapi sebagai wakil rakyat, menteri dan jurutera, beliau mahu Lim menjawab kemusykilan itu.

“Saya sudah ajak ketua menteri berdebat banyak kali, jika tidak berdebat pun sekurang-kurangnya perbincangan secara aman untuk bertukar fikiran dan tunjukkan kepada saya apa yang dilemparkan itu tidak benar,” katanya selepas menyampaikan Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 malam tadi.

Lim sebelum ini menolak cabaran Wee untuk berdebat mengenai isu tersebut atas alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan setiausaha agung DAP dengan menerima cabaran Wee, pemimpin nombor 2 dalam MCA.

Semalam, ketua menteri itu memberikan syarat Wee perlu bertanding menentangnya di Parlimen Bagan jika mahu berdebat isu terowong dasar laut.

Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya mahukan jawapan daripada ketua menteri itu apabila sesuatu perkara dibongkarkan dan jawapan perlu diberikan dan tidak berbangkit soal taraf seseorang.

“Alasan itu tidak masuk akal, lagi pun sebelum ini Lim juga pernah berkali-kali pada 2011 mencabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga Ahli Parlimen di Pulau Pinang dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu untuk berdebat, dan jika kita bandingkan jawatan saya dengan Mohamed, saya rasa tidak rendah jawatan saya,” katanya.

Wee turut mempersolkan tindakan ketua menteri yang mengaitkan soal hierarki untuk melayakkan seseorang berdebat dengannya sambil meminta Lim menjelaskan laporan Oriental Daily berhubung 8 syarikat yang dipelawa untuk pusingan pertama, iaitu tentang prakelayakan sebelum memberikan kontrak ini kepada sesiapa.

“Kalau ikut senarai 8 syarikat ini, Zenith Construction atau Consortium Zenith BUCG tidak ada dalam pusingan pertama dan tiba-tiba pusingan kedua pula masuk, jadi ini pertanyaan daripada rakyat. Jangan kata protokol, tak boleh jawablah, itu semata-mata sebagai tipu helah. Ia helah supaya tidak menjawab soalan,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Projek itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa melibatkan kos kajian kebolehlaksanaan yang tinggi dan kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.