Sabtu, 17 Februari 2018

WUF9: Kemasukan diplomat asing Israel sewajarnya dihalang sebagai ‘imigren yang tidak dingini’, kata PKR



WUF9: Kemasukan diplomat asing Israel sewajarnya dihalang sebagai ‘imigren yang tidak dingini’, kata PKR



Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berpandangan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen menghalang kemasukan delegasi diplomat Israel konsisten dengan pendirian Malaysia terhadap Israel.

Beliau berkata, jika ada pihak memberi alasan delegasi tersebut menggunakan pasport diplomatik untuk masuk kenegara ini, tetapi sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia ujarnya, mempunyai kuasa secukupnya untuk mengusir diplomat, sepertimana Malaysia pernah mengusir diplomat Korea Utara tahun lalu.

“Oleh itu, saya gesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak lagi berdiam diri dan segera memberikan penjelasan, memandangkan insiden kemasukan diplomat Israel ke Malaysia telah menjadi satu titik hitam dalam sejarah negara kita.

“Ini kerana walaupun jemputan dibuat oleh PBB, namun PBB bukan badan kerajaan yang mengawal kaunter imigresen di sempadan-sempadan negara kita yang telah membenarkan delegasi diplomat “Israel ini memasuki Malaysia.

“Badan yang bertanggungjawab dalam hal kebenaran keluar masuk negara ialah Jabatan Imigresen Malaysia, yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan balas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman, bahawa jemputan diplomat Israel ke World Urban Forum (WUF) ke-9 di Kuala Lumpur adalah di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya agensi UN-HABITAT.

Walau bagaimanapun ujarnya lagi, ia tidak menjawab persoalan besar yang masih berlegar di fikiran ramai rakyat Malaysia.

Fahmi menjelaskan di bawah undang-undang Imigresen seorang Ketua Pengarah Jabatan Imigresen untuk menghalang beberapa kategori individu yang dilarang memasuki Malaysia, termasuk mana-mana orang yang kemasukannya menyalahi undang-undang Malaysia, atau yang disifatkan oleh menteri sebagai imigran yang tidak diingini.

“Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.

“Persoalannya, jika Malaysia masih tiada hubungan diplomatik dengan Israel malah terus mengecam tindak-tanduk rejim zionis yang menindas rakyat Palestin, bukankah delegasi diplomat Israel ini boleh ditakrif Menteri Dalam Negeri sebagai “imigran yang tidak diingini” mengikut Seksyen 8(k) Akta Imigresen 1959/1963?,” soalnya.

Tiada ulasan: