Ahad, 18 Februari 2018

Waris amah mati didera tuntut 3 tahun gaji ‘tak dibayar’



Adelina-Lisao

KUALA LUMPUR: Keluarga pekerja domestik Indonesia, Adelina Lisao, yang meninggal dunia selepas didakwa didera menuntut 3 tahun gajinya yang menurut mereka tidak dibayar.

Jakarta Post melaporkan keluarga itu, yang menetap di Kampung Ebi, Daerah Timor Tengah Selatan, percaya Adelina tidak menerima gaji walaupun bekerja sejak 2015.

“Kami menuntut 3 tahun gaji Adelina dibayar. Jangan cuba mewajarkan penahanan gajinya kerana dia tidak berdaftar,” kata ibu saudara Adelina, Petronela Koa menurut laporan itu.

Beliau bercakap kepada Jakarta Post sementara menunggu jasad Adelina tiba di Lapangan Terbang El Tari di Kupang, Nusa Tenggara Timur. Mayat Adelina akan dikebumikan hari ini.

“Jumlah wang tidak penting. Tapi dia masih berhak dibayar gaji,” kata Petronela.

Menurut laporan itu, keluarga melaporkan 2 individu yang didakwa merekrut dan menghantar Adelina bekerja ke Malaysia secara haram. Dua individu itu sudah ditahan pihak berkuasa kerana memalsukan dokumen Adelina. Adelina dilaporkan hanya berusia 17 tahun apabila dihantar ke luar negara. Dokumen palsu itu menyatakan usia Adelina 6 tahun lebih tua daripada usia sebenar, menurut laporan itu.

Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari. Polis menyiasat kes itu atas tuduhan membunuh dan menahan 2 adik beradik dan ibu mereka.

Adelina bekerja di rumah mereka di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam. Beliau dibawa ke hospital selepas seorang jiran, yang ternampak kecederaan pada tangan dan kaki, memaklumkan pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, yang kemudian memaklumkan polis dan NGO hak asasi, Tenaganita.

Adelina juga dilaporkan dilihat tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler selama 2 bulan.

Tiada ulasan: