Ahad, 18 Februari 2018

Tanah Ijok : Adakah Satu Bentuk “Bail-Out”? – Faekah

 
 


Kenyataan yang diberi oleh MB Selangor dan Pengarah Strategik Komunikasi pejabatnya berkenaan kes tanah Ijok jelas gagal menjelaskan isu pokok iaitu mengapa Kerajaan Negeri membuat persetujuan luar mahkamah dalam kes rayuan [Rayuan Sivil No. 01(i)-14-04/2014(W)] sebelum ianya dibicarakan.

Hakikatnya tanah-tanah yang terlibat telah pun dirampas oleh Kerajaan Negeri daripada dua syarikat LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd yang bukan sahaja melanggar pelbagai undang-undang tanah serta tetapi gagal untuk meneruskan projek perumahan seperti yang dijanjikan kepada peneroka dan ribuan pembeli rumah. Lebih teruk, mereka juga telah mencagarkan Tanah-tanah tersebut bagi mendapat pinjaman ratusan juta ringgit.

Dengan rekod yang begitu buruk, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya bersetuju untuk membuat penyelesaian luar mahkamah bersama kedua-dua syarikat tersebut, apatah lagi, keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyebelahi Kerajaan Negeri.

Jika diteliti dokumen penyelesaian luar mahkamah yang sudah tular di internet, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menarik balik semua notis rampasan yang bermakna kedua-dua syarikat tersebut mendapat semula hak kepada tanah yang terlibat yang kemudiannya kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat menjual Tanah-Tanah tersebut kepada pihak ketiga sekaligus turut bergembira apabila syarikat yang telah mengkhianati peneroka dan pembeli rumah ini mendapat keuntungan besar.

Apakah “jasa” kedua syarikat sehingga Kerajaan Negeri sanggup menyelamatkan mereka yang hampir dijerut oleh bank-bank kerana hutang yang melambak? Bukankah ini salah satu bentuk “bailout” namanya?

YAB Menteri Besar ( Azmin Ali) kononnya mengatakan ini adalah untuk menyelesaikan masalah peneroka tapi untuk makluman, kerajaan Pakatan Rakyat (bukan Pakatan Harapan) telah pun menyelesaikan sebahagian besar daripada masalah yang dibuat oleh kedua syarikat itu iaitu projek terbengkalai Taman Alam Perdana.

Pada 2012, TS Khalid telah menyerahkan 684 kunci rumah kepada peneroka dan pembeli rumah Taman Alam Perdana. Semua dilakukan tanpa menggadai tanah kepada syarikat yang gagal mengotakan janji kepada peneroka, pembeli rumah dan Kerajaan Negeri.

Saya berasakan agak lucu apabila membaca kenyataan Kerajaan Negeri yang jelas mahu memperbodohkan rakyat. Jika Pengarah Strategik mengutuk perbuatan kerajaan terdahulu yang kononnya memberi tanah kepada kroni – tetapi kroni yang samalah yang telah dibantu oleh kerajaan negeri hari ini. Inilah yang dikatakan Telunjuk Lurus Kelingking Berkait.

Kononnya juga keputusan Tan Sri Khalid merampas tanah berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri. Jangan berbohong. Tidak di dalam mana-mana keputusan mahkamah yang menghendaki kerajaan membayar ratusan juta ringgit. Peliknya, jika beliau risau dengan tekanan kewangan negeri, beliau patut lebih gusar dengan tren perbelanjaan operasi kerajaan negeri yang tiga tahun berturut-turut membentangkan bajet deficit. Paling teruk tahun ini bilamana deficit mencecah RM1 bilion.

Puan Faekah Husin,
Pegawai Khas kepada Tan Sri Khalid Ibrahim –
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang

Tiada ulasan: