Jumaat, 16 Februari 2018

Serah balik tanah di Ijok: Apa manfaat untuk rakyat Selangor?

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno Selangor terus mempersoalkan manfaat khusus untuk rakyat negeri itu, hasil penjualan tanah bernilai RM1.18 bilion oleh kerajaan negeri di mukim Ijok kepada pihak ketiga.
 
ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata Umno Selangor begitu kesal dengan pertimbangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu berkenaan lebih-lebih lagi pertikaian status tanah itu masih dalam proses mahkamah.
 
Tegas Sulaiman, keputusan dua mahkamah sebelum ini berpihak kepada kerajaan negeri Selangor dan peluang untuk mendapatkan kembali hak milikan tanah ribuan ekar itu, semakin besar.  
 
"Dalam isu yang tanah Ijok ini, kita rasa amat kesal kerana pihak kerajaan negeri sudah menang di dua peringkat mahkamah. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. 
 
"Sekiranya kerajaan negeri menang dalam kes ini, saya percaya mereka ada merit dalam kes ini. Sekiranya kerajaan negeri dapat balik tanah 800,00 hektar itu saya yakin kepentingan lagi banyak dapat dijamin.
 
"Kalau dah menang di dua peringkat maka manfaatnya jauh lebih besar, dapat balik tanah 2,000 lebih ekar. Kalau dibangunkan nilainya saya boleh bayang. Kalau satu ekar itu GDV dia sahaja lebih kurang 10 juta, boleh kalikan dengan 2,000 ekar. Agak agaknya berapa bilion kerajaan negeri akan dapat," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sebelum ini Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong menuduh pemimpin Umno sebagai dangkal berhubung isu penyerahan semula tanah kepada dua syarikat pemaju, LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd.
 
Dua pemaju itu kemudiannya menjual tanah itu kepada pihak ketiga.
 
Yin berkata tindakan kerajaan negeri (ketika pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim) merampas tanah berkenaan menyaksikan sejumlah pampasan bernilai jutaan ringgit harus dibayar kepada dua syarikat dan bank yang memberi pinjaman kepada dua syarikat itu.
 
Justeru tindakan kerajaan negeri pimpinan Azmin menyerahkan kembali tanah itu kepada dua syarikat pemaju tersebut - yang kemudiannya dijual kepada pihak ketiga pada harga RM1.18 bilion.
 
Hasil jualan tanah itu digunakan untuk membayar pampasan dan rumah kediaman kepada peneroka yang terlibat, ujar Yin.
 
Mengulas kaedah penyelesaian itu, Sulaiman kemudiannya bertanyakan 'apakah manfaat langsung untuk kerajaan negeri'?
 
"Saya nak tanya apa manfaat kepada kerajaan negeri Selangor? Apa dia (dapat)? Yang ini Azmin kena jelaskan yang mana dia tak jelaskan pun. 
 
"Penyelesaian (ada) tetapi (hakikatnya) tanah itu (begitu) hampir dalam genggaman kerajaan negeri (namun) terlucut tanpa dapat apa-apa manfaat," katanya kesal.
 
Untuk rekod, selepas pentadbiran Khalid merampas tanah berkenaan, dua syarikat pemaju itu menyaman kerajaan negeri Selangor dan menteri besar (Khalid) di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mendapatkan kembali tanah tersebut namun keputusan mahkamah pada 22 Oktober 2013 tidak memihak kepada mereka.
 
Dua syarikat itu membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan keputusannya pada 17 Februari 2014 sekali lagi memihak kepada kerajaan Selangor dan Khalid. Tidak putus asa, dua syarikat itu kemudiannya mebawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan - untuk diadili bagi kali terakhir.
 
Namun, ketika Mahkamah Persekutuan belum membuat apa-apa keputusan, kerajaan negeri mengatur penyelesaian yang menyaksikan tanah itu dikembalikan kepada dua syarikat pemaju itu, sebelum dijual kepada pihak ketiga.
 
Penyelesaian isu tanah dengan Talam Corporation harus dicontohi
 
Tambah Sulaiman, jika kerajaan negeri bertegas pertahankan tanah ribuan ekar itu, ia boleh menjana pendapatan yang jauh lebih besar untuk jangka masa panjang.
 
Beliau kemudiannya merujuk isu pengambilalihan 4000 ekar tanah daripada Syarikat Talam Corporation sewaktu pentadbiran Khalid pada 2012.
  
"Kalau dalam kes yang Khalid Ibrahim pernah ambil tanah daripada Talam Corporation jelas akhirnya kerajaan negeri dapat balik pemilikan 2,000 lebih ekar tanah daripada penyelesaian itu. Hari ini menjadi aset kepada kerajaan negeri. 
 
"Hari ini kerajaan negeri dapat balik hampir 200,000 hektar tanah Talam Corporation diambil sebagai ganti hutang yang beratus juta.
 
"Yang (kes tanah Ijok) ini, apa asetnya kepada kerajaan negeri? Adakah apabila pemaju bangunkan, kerajaan negeri dapat premium? Mana-mana kalau buat pembangunan tetap bayar premium. Itu bukan manfaat besar," ujarnya.
 
Malah Khalid dalam catatan Facebooknya semalam turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Selangor memulangkan semula tanah yang dirampas kepada pemaju.
 
Khalid mempertahankan keputusan merampas tanah berkenaan bagi memulihkan projek terbengkalai yang membebankan ribuan keluarga peneroka dan pembeli rumah di Ijok.
 
Justeru ADUN Bebas Pelabuhan Klang itu menggesa pihak yang terbabit dalam pemulangan tanah terbabit disiasat pihak berkuasa.
 
Susulan itu, Azmin hari ini memaklumkan kerajaan Selangor sudah menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.
 
 

Tiada ulasan: