Jumaat, 16 Februari 2018

Sarawak tak akan bangkit lagi tuntutan 20% royalti petroleum



Sarawak tak akan bangkit lagi tuntutan 20% royalti petroleum
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian (berbaju kuning) dan pemimpin parti di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina SUPP di Kuching hari ini. Tiada lagi cakap-cakap mengenai royalti minyak, katanya. – Gambar The Malaysian Insight,
 
MENTERI Perumahan Sarawak Dr Sim Kui Hian hari ini berkata kerajaan negeri tidak akan membangkitkan lagi desakan tuntutan 20% - dari 5% sekarang -  ke atas royalti minyak dan gas.

Sebaliknya, Sarawak akan menumpukan perhatian untuk memajukan syarikat petroleum negeri, Petros serta hasil potensi yang boleh dihasilkan.

"Tiada lagi cakap-cakap mengenai royalti minyak," kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ketika bercakap kepada pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Kuching hari ini.

Mengulangi kenyataan Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini iaitu hak mencari gali dan melombong untuk semua mineral dan sumber asli di Sarawak, termasuk minyak dan gas adalah hak negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Dr Sim berkata "semua minyak dan gas (dan gas di negeri) adalah milik Sarawak.

"Milik kami, akan kekal jadi milik kami. Ia ada dalam Perlembagaan," katanya merujuk kepada kenyataan ketua menteri dalam rancangan temubual secara langsung di TV1 pada Selasa.

Ketika menjelaskan mengapa Petronas mesti mendapatkan lesen mencari gali sekiranya mahu beroperasi di Sarawak, Abang Johari berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembangunan sumber mineral terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan, namun ia tertakluk kepada Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri.

Perkara 2(c) menyatakan permit dan lesen bagi mencari gali, pajakan dan sijil melombong adalah bidang kuasa negeri.

Keperluan mendapatkan permit dan sijil negeri terletak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.

Tiada ulasan: