Rabu, 21 Februari 2018

Radhi bakal jadi calon Pas Pokok Sena?

DETIK DAILY


POKOK SENA: Siapa tidak kenal Radhi Mat Din.

 Nama besar dalam arena bola sepak tanahair satu ketika dahulu itu kembali mendapat perhatian apabila dikaitkan dan disebut-sebut sebagai individu yang bakal dicalonkan sebagai calon Parti Islam Semalaysia (Pas) Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Radhi ketika ditemui Astro AWANI mengakui, dia ada membantu parti itu dengan mendekati golongan muda dan masyarakat melalui sukan bola sepak.

“Secara jelas, saya tak dapat apa-apa bayangan dari parti. Cuma arahan daripada parti adalah, kalau boleh tolong bantu parti seperti mendekati anak muda dan sebagainya.

"Kita sebagai salah seorang ikon bola sepak, bercakap dari sudut itulah, sudut sukan.

"Ia lebih kepada hendak mendekati anak muda di samping bersukan dan ada peranan lain yang kita patut beri untuk masyarakat dan agama," katanya

Walaupun kehidupannya berkisar ke arah sukan bola sepak, namun Radhi mengakui sentiasa mengikuti perkembangan politik terutama di Pokok Sena.

Menyentuh mengenai dakwaan bahawa dia akan bertanding, Radhi mengakui bahawa dia bersedia.
Radhi yang terkenal dengan gelaran 'Kapten Marvel', merupakan kapten bola sepak Kedah paling lama berkhidmat dalam sejarah, bermula dari tahun 1991 hingga 2000.

Antara pencapaian membanggakan sebagai pemain adalah membantu pasukan Kedah menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 1990, diikuti pada 1993.

Radhi juga merupakan tonggak penting semasa Kedah muncul juara berganda pada 2007 dan 2008 sebagai penolong jurulatih skuad itu.

Tiada ulasan: