Selasa, 20 Februari 2018

PH hanya akan ambil alih sistem BN

AILMI ZAKARYA




SIK: Fitnah menjadi makanan tambahan dan vitamin bagi PAN yang hidup dilingkungi fitnah kepada PAS hanya kerana dendam setelah pelbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan parti Islam ini menemui jalan buntu.

Demikian menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam pidatonya sempena Himpunan Fastaqim PAS Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di sini kelmarin.

Katanya, isu dimainkan PAN adalah isu yang bersifat jelek seperti pakaian Presiden PAS dan Perdana Menteri sedondon, selain PAS dicop pemakan dedak Umno hanya kerana bersama dengan kerajaan.

Akuinya, PAS memang bersama kerajaan dalam isu-isu Islam dan kebajikan serta sejagat seperti isu kepentingan rakyat, Rohingya dan Baitulmaqdis, sedangkan PH bersama kerajaan dalam urusan tertentu yang berkepentingan kepartian tidak pula diisukan.

"Begitu juga bila PAS menolak Mahathir menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memerintah, PAS dituduh menyokong Najib walhal Mahathir terkenal dengan skandal-skandal yang tak kurang hebatnya dengan Najib.

"Orang PAS tidak bodoh macam mereka hendak tuduh masuk Umno atau kerjasama dengan Barisan Nasional hanya kerana pakaian sedondon dan gambar bersama.

"Kita harapkan bodoh mereka itu simpan sikit dalam rumah banglo jangan tunjuk sangat," katanya mencetuskan sorakan hadirin.

Tambahnya lagi dengan penyerahan borang keahlian baru PAS pada malam itu membuktikan PAS terus mendapat sokongan dari masyarakat walaupun wujud persepsi jahat yang dicipta pihak musuh.

Malah ujar Idris, kehadiran ramai dari seluruh pelusuk Sik memenuhi segenap ruang tapak pada malam itu membuktikan PAS terus menjadi wadah kepercayaan masyarakat untuk menyelamatkan negara.

Menurutnya lagi, dengan kemelut negara yang kian meruncing akibat urustadbir negara yang salah, tidak wajar Umno dikekalkan untuk terus memerintah.

"PAS menawarkan jalan penyelesaian melalui Dokumen Hijau, WINS dan Kerajaan Teknokrat kepada rakyat Malaysia yang mahukan perubahan sistem bukan sekadar menukar pemimpin sepertimana yang diinginkan PH," ujarnya diiringai laungan takbir para hadirin yang bersemangat.

Lanjutnya lagi, sistem pemerintahan yang ada kini sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi, malah merupakan sistem tinggalan penjajah bertujuan mengekalkan golongan kaya menjadi makin kaya, sedang orang miskin kian fakir.

Demikian itu tegasnya, PAS datang menghulurkan satu sistem yang terbukti akan menyelamatkan negara, bahkan semua kaum di Malaysia dengan hak keadilan diberi sewajarnya iaitu sistem Islam yang dibawa oleh junjungan besar Baginda Nabi S.A.W.

"Ini berbeza dengan PH yang ingin mengambil tampuk pemerintahan negara, tetapi mahu mengekalkan sistem yang sama dan terbukti gagal.

"Malah mahu mengangkat kembali pemimpin yang membuat kerosakan kepada negara melalui sistem tersebut, angkat semula Mahathir menjadi Perdana Menteri," getusnya mengundang tawa hadirin.

Beliau pada ceramah itu turut membangkitkan mengenai Akta 164 yang telah menyebabkan polemik dalam masyarakat antaranya kes Mohd Riduan Abdullah di mana anaknya telah 'dimurtadkan' kembali.

Hal tersebut bidasnya, disebabkan oleh keputusan mahkamah selepas akta yang dibawa oleh kerajaan itu diluluskan di Parlimen walaupun Ahli Parlimen PAS cuba untuk meminta untuk dibuat undi berbelah bagi.

Luahnya dukacita, walaupun selepas Merdeka sehingga hari ini pemerintahan negara dipegang oleh orang Islam dari parti yang sama tetapi Islam dikesampingkan hanya kerana kuasa.

"Manakala di pihak PH, mereka bergembira akan keputusan ini. Bahkan mereka sanggup bekerjasama dengan Umno-BN meluluskan akta ini dengan prejudis terhadap Islam, walaupun saban hari PAS yang difitnah mahu masuk Umno.

"Umno sudah tidak boleh diharapkan lagi untuk memimpin Islam di Malaysia ini, manakala di pihak PH juga tidak boleh disandarkan Islam kepadanya kerana DAP yang jelas menolak Islam berkuasa di dalamnya," tambah beliau.

Beliau dalam pada itu menyeru kepada semua ahli Umno untuk mengundi PAS pada pilihan raya kali ini demi menyelamatkan negara dari terus rosak kepada negara yang sejahtera bersama Islam.

Beliau juga menitipkan pesan kepada semua amilin, ahli, pimpinan, jentera serta penyokong PAS untuk terus bekerja dengan bersungguh-sungguh memenangkan PAS pada pilihan raya kali ini. -HARAKAHDAILY



Tiada ulasan: