Rabu, 21 Februari 2018

PBS: Kad pengenalan harus diimbas di seluruh negara

 
Beliau berkata ini kerana terdapat banyak kes kad pengenalan diragui digunakan rakyat asing untuk mendakwa diri mereka sebagai warga Malaysia.


ic-kad-pengenalan

KOTA KINABALU: Pengimbasan kad pengenalan secara rawak perlu dilakukan di seluruh negara dan bukan hanya di pintu masuk dan keluar, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun.

Beliau berkata ini kerana terdapat banyak kes kad pengenalan Malaysia yang diragui digunakan oleh rakyat asing untuk mendakwa diri mereka sebagai warga Malaysia.

Mositun yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata kes terbaru berlaku di Johor melibatkan 20 warga Filipina ditahan kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan milik orang lain.

“Tetapi ada juga kes penjenayah di Kuala Lumpur ditangkap kerana memiliki kad pengenalan Malaysia yang diragui. Itu sebabnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu menjalankan pemeriksaan rawak di tempat-tempat ini.

“Media juga melaporkan beberapa orang menggunakan kad pengenalan Malaysia diragui juga mendapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan. Kita perlu memastikan ini tidak berlaku lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mositun berkata demikian mengulas jaminan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu langkah-langkah sudah diambil untuk mengesan pemegang kad pengenalan palsu di semua pintu masuk dan keluar negara terutama di lapangan terbang.

Semasa melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Isnin, Ahmad Zahid berkata beliau sudah mengarahkan pihak imigresen dan JPN menempatkan pegawai di semua pintu masuk dan keluar untuk menjalankan pengimbasan kad pengenalan secara rawak untuk mengesan sama ada kad pengenalan digunakan seseorang itu asli atau sebaliknya.

Tiada ulasan: