Jumaat, 16 Februari 2018

Pakatan kaji had tempoh dua penggal untuk KM, MB

THE MALAYSIAN INSIGHT
 
Pakatan kaji had tempoh dua penggal untuk KM, MB 
Timbalan presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng berkata, perbincangan di peringkat pucuk pimpinan pakatan itu akan diadakan berhubung cadangan melaksanakan had tempoh dua penggal bagi jawatan ketua menteri dan menteri besar sekiranta pakatan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14.– Gambar fail The Malaysian Insight,
 
TIMBALAN Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng berkata gabungan parti itu akan turut membincangkan mengenai had tempoh perkhidmatan ketua menteri dan menteri besar.

"Saya tidak boleh jelaskan secara terperinci kerana ia masih perlu dibincangkan (pada peringkat majlis presiden), saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti komponen.

"Seperti peruntukan kerusi, kita hanya boleh umumkan selepas kita mencapai konsensus," kata setiausaha agung DAP itu kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual baru-baru ini berhubung isu berkenaan.

Lim, yang hampir tamat tempoh dua penggalnya sebagai ketua menteri Pulau Pinang berkata, DAP tidak boleh melaksanakan had dua penggal kepada Pulau Pinang tanpa berunding dengan parti komponen PH lain.

PH terdiri daripada DAP, Amanah, PKR dan Bersatu.

"Bila kita bincangkan topik ini, saya selalu tekankan, kita berpegang kepada prinsip, tidak berkompromi dengan jawatan kami. Sebarang keputusan perlulah menjadi keputusan PH," kata Lim.

DAP Pulau Pinang menerima kritikan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah Teh Yee Chau kerana tidak memenuhi janji pilihan raya 2008 untuk mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Teh telah membentangkan usul itu berkenaan sebanyak dua kali di sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tetapi tidak mendapat sokongan daripada Adun lain. Cadangannya juga dilihat tidak masuk akal oleh ahli partinya yang lain.

Bagaimanapun, pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, perkata itu perlu dibincangkan dengan PH dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari secara terbuka menyokong cadangan itu.

Ia turut mendapat sokongan Ketua Pemuda PKR Bukit Mertajam Mohd Ikhwan Nasser Mohamad Isa.

"Ini akan memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan komited untuk menunaikan janji," katanya.

Dalam konvensyen pada 7 Januari lalu, PH mengumumkan ikrarnya untuk mengehadkan jawatan perdana menteri kepada hanya dua penggal sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan sebelum Ogos.

Tiada ulasan: