Jumaat, 16 Februari 2018

K’jaan akan dapatkan penjelasan duta berkenaan visa Amerika

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan daripada Duta Amerika Syarikat di Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir berhubung program pengecualian visa (VWP) Amerika yang dilaporkan tidak akan memasukkan Malaysia ke dalam program berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia telah pun memenuhi segala syarat dan piawaian yang ditetapkan negara itu untuk program berkenaan.

“Kita telah ikuti sepenuhnya piawaian berkenaan, termasuklah soal keselamatan melibatkan kehilangan pasport dan senarai orang dikehendaki bukan hanya untuk kegunaan visa tetapi juga memenuhi syarat Interpol.

“Kita juga telah mematuhi ciri-ciri keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan-badan keselamatan antarabangsa yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan alat keselamatan kebakaran kepada 612 institusi tahfiz di Perdana Putra di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kamala Shirin yang dilaporkan berkata Amerika tidak mempunyai perancangan untuk menyenaraikan Malaysia dalam program pengecualian visa Amerika.

Menurut Kamala Shirin, pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat tidak akan memperluaskan program tersebut untuk penyertaan negara-negara lain.

Ketika ini, rakyat dari 38 negara layak memasuki Amerika tanpa visa di bawah VWP.

Malaysia menyuarakan hasratnya untuk disenaraikan dalam VWP semasa perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika ketika itu Barack Obama semasa bekas pemimpin Amerika itu melawat Malaysia pada April 2014.

Program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki Amerika tanpa memohon mendapatkan visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu bagi tempoh maksimum 90 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan.

Mengenai isu video klip penyanyi kontroversi Namewee yang mengandungi aksi tarian provokasi berdekatan Masjid Putra, Putrajaya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini perlu sentiasa dipertahankan.

“Beliau tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa sekiranya tindakan dikenakan ekoran video terbarunya yang sekali lagi mengguriskan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Orang itu telah terlepas dalam banyak tindakan, dan kita harap jangan mana-mana pihak membuat provokasi, ini bukan amaran, saya hanya hendak beritahu tindakan pasti akan diambil,” katanya.

Semalam, Pengerusi Aktivis Media Sosial, Kamarudin Ahmad menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat video klip penyanyi itu. –Bernama

Tiada ulasan: