Ahad, 18 Februari 2018

Hadi jangan terus 'marah' parti kami - S/U Agung Amanah

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Janganlah terus-terusan marahkan parti kami', demikian kata seorang ahli Amanah kepada presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Ia merujuk kepada kenyataan Hadi hari ini bahawa parti serpihannya itu wujud sekadar untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu serta memberi talian hayat kepada Umno apabila nekad mahu bertanding di kerusi yang menjadi tradisi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
 
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kenyataan Hadi itu sama sekali tidak benar kerana bukan Amanah sahaja yang mahu bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS.
 
"Ada tempat yang PKR akan bertanding, PPBM bertanding dan ada juga tempat yang Amanah akan bertanding, jadi jangan marah kepada Amanah sahaja, bukan Amanah sahaja yang akan bertanding di kesemua kerusi yang PAS bertanding itu.
 
"Dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja bebas apabila dibubarkan parlimen untuk menamakan dirinya, malahan orang perseorangan juga boleh, bukan sahaja parti, dia boleh bertanding sebagai calon bebas.
 
"Jadi jangan ada usaha menyekat sesiapa untuk bertanding dalam PRU ini," katanya kepada Antarapos.
 
Hadi dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia hari ini berkata, jika Amanah mahu masuk ke dalam parti politik dan melawan Umno, kenapa parti itu 'sibuk' meletakkan calon mereka di kerusi PAS yang telah menjadi tradisi pertandingan Umno-PAS sejak puluhan tahun.
 
Malah Ahli Parlimen Marang itu juga berkata Amanah adalah hasil ijtihad yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi sekarang ibarat laksana melukut di tepi gantang sahaja.
 
Mengulas lanjut, Anuar berkata pandangan Hadi itu sama sekali tidak benar malah berkata Hadi yang bersungguh-sungguh menghalau mereka pada suatu ketika dahulu dan mahu mereka membuat satu 'platform' baru.
 
"Bukankah dia (Hadi) orang yang bersungguh-sungguh menghalau kami keluar dahulu? Bersungguh-sungguh mahu kami keluar dan buat platform sendiri?
 
"Mereka yang telah memecah-belahkan perpaduan yang telah wujud di kalangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat dahulu.
 
"Kami muncul untuk mengembalikan kesatuan rakyat dengan sama-sama mewujudkan Pakatan Harapan," ujarnya lagi.
 
Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh sebahagian bekas pemimpin PAS yang tidak sealiran dengan kepimpinan parti di bawah teraju Hadi. 
 
Untuk rekod, setakat ini parti itu mempunyai 13 wakil rakyat yang memenangi kerusi atas tiket PAS pada PRU13 lalu. 
 
Mereka ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) 
 
Selain itu, tujuh ADUN Amanah ialah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang), Hasnul Baharuddin (Morib), Datuk Husam Musa (Salor) dan Syed Hamid Syed Mohamed (Kuala Semantan). 


Tiada ulasan: