Selasa, 20 Februari 2018

Dr Kamarul : Mengenali Wajah Sebenar Lim Kit Siang

 
 
 

Di dalam kenyataan media beliau hari ini, 19 Februari 2018, Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, sekali lagi mengulangi kenyataan-kenyataan media yang telah beliau buat sebelum ini dengan menyatakan bahawa beliau dan DAP bukanlah seorang pemimpin dan sebuah parti politik yang bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.

Kata Lim Kit Siang, kempen DAP bersifat anti-Melayu dan anti-Islam ini kononnya adalah maklumat palsu dan berita palsu paling memalukan pernah dicipta di dalam sejarah politik Malaysia, sambil menambah bahawa DAP memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum dan agama sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966.

Sebenarnya sudah terlalu banyak ucapan dan tulisan yang dibuat bagi menjelaskan sikap anti-Melayu dan anti-Islam Lim Kit Siang dan DAP ini, termasuklah ucapan dan tulisan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi parti-parti politik negara seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, bukan setakat Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi sahaja, tetapi Pengerusi PPBM merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini merupakan ketua Lim Kit Siang sendiri, telah menyebut perkara yang sama di dalam tulisan pada blog beliau waktu kempen PRU 13 sedang hangat dahulu.

Di dalam tulisan beliau pada 11 April 2013 itu, Tun Dr Mahathir telah menyebut betapa DAP adalah Trojan Horse PAP untuk me-Malaysian-kan Malaysia, betapa Lim Kit Siang akan memainkan sentimen ke-Cina-an dan betapa Lim Kit Siang akan membakar orang-orang Cina untuk membenci orang-orang Melayu.

Lanjutan itu, Lim Kit Siang, yang kepanasan kerananya, telah mengarahkan, pada 13 April 2013, supaya Tun Dr Mahathir menarik balik tulisan beliau ini dan memohon maaf dalam tempoh 24 jam atas serangan beliau tersebut, yang disertai ugutan bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika ini tidak dibuat oleh beliau.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir telah menyiarkan di dalam akhbar the New Straits Times pada 28 April 2013 di samping di dalam blog beliau pada 30 April 2013 satu tulisan yang menyebut bahawa beliau tidak takut dengan ugutan Lim Kit Siang, malah menyebut dengan lebih tegas lagi bahawa Lim Kit Siang memang rasis.

Hari ini, sesudah hampir lima tahun ia berlalu, Lim Kit Siang tidak pernah menunaikan janji untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Tun Dr Mahathir, begitulah juga dengan ugutan beliau pada 28 Januari 2017 untuk mengambil tindakan sama ke atas Datuk Seri Abdul Hadi kerana menyebut bahawa DAP anti Islam.

Turut pernah diugut untuk diambil tindakan undang-undang kerana menyebut bahawa DAP anti-Melayu dan anti-Islam ini ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, iaitu pada 21 Februari 2017, tetapi sehingga ke hari ini ugutan ini tidak pernah dikotakan oleh Lim Kit Siang, malah Tan Sri Annuar sejak itu lebih lantang bersuara pula.

Sebenarnya bukanlah susah untuk menafikan kenyataan Lim Kit Siang bahawa beliau dan DAP bukanlah bersifat anti-Melayu dan anti-Islam serta bahawa DAP memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum dan agama sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966 kerana dakwaan begini sudah tercatat secara rasmi dalam rekod kerajaan.

Pada 11 Julai 1969, Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengenai enam asas penahanan di bawah Seksyen 11(2)(b) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Lim Kit Siang, yang pada waktu itu adalah Setiausaha Organisasi DAP merangkap Ahli Parlimen Bandar Melaka.

Di dalam kenyataan ini disebut dengan secara spesifik ucapan-ucapan Lim Kit Siang yang membakar perasaan perkauman serta mewujudkan ketegangan, kebencian, permusuhan, ketidakpercayaan dan ketidakharmonian antara kaum serta yang mencetuskan perasaan anti-Melayu dan anti-Islam di kalangan rakyat Malaysia.

Asas pertama penahanan Lim Kit Siang adalah kerana, pada 27 Julai 1968, di satu ceramah umum DAP di Tanjong Malim, Perak, beliau telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “dasar pelajaran kerajaan adalah dirangka untuk mencapai penghapusan akhbar-akhbar Cina, sekolah-sekolah Cina dan bahasa-bahasa Cina”.

Asas keduanya pula adalah kerana, pada 24 Ogos 1968, di satu ceramah umum DAP di Slim River, Perak, Lim Kit Siang telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “satu poster pelancongan dengan kata-kata Melayu “cakaplah bahasa kebangsaan sahaja” jelas menggambarkan dasar satu bahasa kerajaan dan bahawa pengalihbahasaan filem-filem televisyen Inggeris, Cina dan Tamil dengan Melayu adalah tidak adil kepada kaum-kaum lain kerana bahasa-bahasa mereka tidak diberikan status sama”.

Asas ketiganya pula adalah kerana, pada 7 September 1968, di satu ceramah umum DAP di Batu 24, Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, dan pada 21 September 1968, di Kampung Baru Sungei Way, Selangor, Lim Kit Siang telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “MCA membantu kerajaan menindas bahasa Cina seperti terbukti oleh ketidakpengiktirafan terhadap projek Universiti Nanyang”.

Begitu juga dengan asas keempatnya, iaitu kerana, pada 29 September 1968, di satu ceramah umum DAP di Batu Pahat, Johor, pada 2 November 1968, di Lawan Kuda Bahru, Gopeng, Perak, dan pada 26 Januari 1969, di Jalan Yow, Pudu, Kuala Lumpur, Lim Kit Siang telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “dasar Perikatan adalah “dasar perkauman” kerana Perikatan telah memberikan lebih banyak keistimewaan kepada golongan Bumiputera dalam pelajaran universiti dan bahawa terdapat warganegara kelas pertama dan warganegara kelas kedua – golongan Bumiputera merupakan warganegara kelas pertama, dan bahawa kurniaan-kurniaan pingat seperti P.P.M. tidak membawa apa-apa nilai kerana ia diberikan kepada orang-orang di jalanan dan bahawa P.P.M. membawa makna “Pelan Pelan Mati””.

Demikian juga dengan asas kelimanya, iaitu kerana, pada 12 Februari 1969, di satu ceramah umum DAP di Jalan Lengkongan Brunei, Kuala Lumpur, Lim Kit Siang telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “kerajaan melakukan diskriminasi antara pelbagai kaum dalam peperiksaan kemasukan ke Universiti Malaya, dalam pekerjaan dan dalam pengagihan tanah dan bahawa kedudukan istimewa diberikan kepada orang-orang Melayu”.

Asas keenamnya pula adalah kerana, pada 13 Mei 1969, di satu ceramah umum DAP di Kampong Ayer, Kota Kinabalu, Sabah, Lim Kit Siang telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “kerajaan sedang cuba mewujudkan satu Malaysia Melayu dengan membahagikan rakyat kepada golongan Bumiputera dan golongan bukan Bumiputera, bahawa “orang-orang Melayu adalah golongan Bumiputera kelas pertama” dan bahawa kerajaan sedang melaksanakan satu dasar “Me-Malaysia-kan” Sabah di mana semua jawatan tertinggi dipegang oleh orang-orang Melayu”. Lim Kit Siang juga telah memberitahu kepada hadirin beliau bahawa “kerajaan sedang melaksanakan dasar pengeksploitasian oleh orang-orang Melayu ke atas kaum-kaum lain dan bahawa kerajaan dengan melangsungkan Persidangan Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur bercadang untuk menghantar warganegara-warganegara Malaysia untuk mati di Timur Tengah bagi menawan Jerusalem untuk Dunia Islam”.

Bila Lim Kit Siang sendiri pernah ditahan di bawah ISA kerana sifat anti-Melayu dan anti-Islam beliau, maka tidak betullah dakwaan beliau bahawa beliau dan DAP bukanlah bersifat anti-Melayu dan anti-Islam serta bahawa DAP memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum dan agama sejak ia ditubuhkan pada tahun 1966.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).





Tiada ulasan: