Ahad, 18 Februari 2018

Baru ura-ura Dr M tanding, sudah dapat RM1.3 bilion, kata Azmin

azmin-ali-pkr

PETALING JAYA: Datuk Seri Azmin Ali hari ini menyindir peruntukan RM1.3 bilion untuk Langkawi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Timbalan presiden PKR menyarankan calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya mengumumkan akan bertanding di beberapa lagi kerusi lain supaya lebih banyak peruntukan diturunkan.

“Baru ura-ura Dr Mahathir nak bertanding di Langkawi, orang Langkawi dapat RM 1.3 bilion. Betapa desperadonya orang itu!” kata Azmin di Twitter hari ini.

“Ada baiknya Dr Mahathir membayangkan akan bertanding di beberapa tempat. Pastinya rakyat di situ akan mendapat nikmat pembangunan.”

Najib di Langkawi hari ini mengumumkan peruntukan RM1.315 bilion untuk 5 projak baharu di Langkawi di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Projek itu melibatkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi (RM500 juta), kuarters baru petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baru di Padang Matsirat (RM30 juta), naik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang-Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek atasi masalah bekalan air (RM600 juta).

Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan akan bertanding di salah satu daripada 3 kerusi Parlimen iaitu Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada PRU14.

“Mereka memberitahu saya bahawa saya berpeluang untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi, bersedialah,” kata Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berharap Dr Mahathir tidak bertanding di Langkawi sebagaimana spekulasi sebelum ini kerana ia akan mengundang kata-kata yang “menyakitkan hati” terhadap bekas perdana menteri itu.

“Dengan penuh rasa hormat, saya berharap Dr Mahathir tidak akan bertanding di Langkawi. Sebaik kempen pilihan raya bermula, mungkin ada yang akan mengeluarkan kata-kata menyakitkan hati kepadanya,” kata Nawawi.
Saya harap Tun tidak tanding sini, kata wakil rakyat Langkawi
Peluang Dr Mahathir paling cerah di Langkawi?

Tiada ulasan: