Sabtu, 17 Februari 2018

Apa jasa dua syarikat itu sampai Azmin serah tanah Ijok?

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Mohamed Azmin Ali


KUALA LUMPUR – Pegawai Khas Tan Sri Khalid Ibrahim tampil mempersoal kewajaran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyerahkan tanah peneroka Ijok kepada dua syarikat yang sudah kalah kes di mahkamah.



Faekah Husin mendakwa Azmin mengambil langkah ‘bailout’ untuk menyelamatkan dua syarikat, LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd yang berdepan hutang berlambak kerana sudah kalah kes di mahkamah malahan tanah juga dirampas.

“Apakah ‘jasa’ kedua syarikat sehingga Kerajaan Negeri sanggup menyelamatkan mereka yang hampir dijerut oleh bank-bank kerana hutang yang melambak?

“Bukankah ini salah satu bentuk ‘bailout’ namanya?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Faekah, kerajaan Selangor tidak sepatutnya bersetuju untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah memandangkan dua syarikat itu melanggar pelbagai undang-undang tanah serta gagal untuk meneruskan projek perumahan seperti yang dijanjikan kepada peneroka dan ribuan pembeli rumah.

“Dengan rekod yang begitu buruk, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya bersetuju untuk membuat penyelesaian luar mahkamah bersama kedua-dua syarikat tersebut, apatah lagi, keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menyebelahi Kerajaan Negeri.

“Jika diteliti dokumen penyelesaian luar mahkamah yang sudah tular di internet, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menarik balik semua notis rampasan yang bermakna kedua-dua syarikat tersebut mendapat semula hak kepada tanah yang terlibat yang kemudiannya kerajaan negeri memberi kebenaran kepada syarikat menjual tanah tersebut kepada pihak ketiga, sekali gus turut bergembira apabila syarikat yang telah mengkhianati peneroka dan pembeli rumah ini mendapat keuntungan besar,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendesak Azmin agar menjelaskan isu penjualan tanah peneroka di Ijok kepada dua syarikat swasta di mana menurut beliau, terdapatnya beberapa perkara yang berlaku di luar kebiasaan berhubung isu pembelian tersebut.

Menurut Rahman, pada zaman pemerintahan Khalid, tanah yang dibeli oleh dua syarikat, iaitu Mujur Zaman dan LBCN Development sebenarnya telah pun dipulangkan kembali kepada kerajaan negeri ekoran dua syarikat tersebut telah melanggar beberapa perjanjian antaranya ialah tidak melaksanakan projek perumahan dan tidak membayar pampasan kepada peneroka selama 10 tahun.

“Selain daripada itu, dua syarikat tersebut, yang mana Datuk Khairuddin Abu Hassan, orang kuat Dr Mahathir merupakan salah seorang pengarahnya, telah melanggar syarat di bawah Kanun Tanah Negara iaitu tidak membayar premium tanah, tidak menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan dan tidak membayar premium syarat tukar tanah,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: