Sabtu, 17 Februari 2018

13 kerusi Dun Selangor dikekalkan, kekuatan jentera sedia ada akan membantu PH



13 kerusi Dun Selangor dikekalkan, kekuatan jentera sedia ada akan membantu PH



AMANAH Selangor  mahu 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pengagihan Kerusi Pakatan Harapan Selangor  pada Jumaat lalu,  dapat dikekalkan oleh pucuk pimpinan parti di negeri ini dan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Pengarah Pilihan Raya AMANAH Selangor Jaafar Samsuddin berkata, perbincangan kali pertama yang membawa kepada penentuan bilangan kerusi Dun yang selama ini gagal mendapat kata sepakat setiap parti gabungan Pakatan Harapan di Selangor dapat ditentukan pada mesyuarat tersebut.

Pada keputusan bersama itu AMANAH  13 kerusi Dun, PKR (16), DAP (15) dan Bersatu (12).

Jaafar Samsuddin

Kerusi-kerusi Dun yang akan diwakili calon AMANAH adalah Hulu Bernam, Sabak, Sungai Panjang, Sungai Burong, Paya Jaras Taman Templer,Bangi, Sungai Ramal, Morib, Dusun Tua, Meru, Pandan Indah dan Lembah Jaya.

“Alhamdulillah daripada perbincangan pengagihan kerusi yang diadakan itu kita (AMANAH) menuntut 13 kerusi Dun, itu sudah cukup bagus.

“Cuma perbincangan perlu diadakan sekiranya ada pertukaran atau tambah atau kurang kerusi, empat parti akan berbincang lagi.

” Kita harap benda ini (agihan kerusi) dapat berjalan dengan baik semua parti sudah nampak kerusi-kerusi Dun yang dipohon parti dalam gabungan ini pada mesyuarat khas yang diadakan itu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamarudin.

Jaafar yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor berkata, pada dasarnya AMANAH mahu jawatankuasa agihan kerusi mengekalkan 13 kerusi dipohon parti itu.

“Pada dasarnya AMANAH mahu jawatankuasa agihan kerusi mengekalkan 13 kerusi dipohon itu.

“Ini kerana ia melibatkan jentera dan kekuatan AMANAH yang dahulu dalam gerak kerja jentera pilihan raya ketika di dalam parti lama (Pas) disemua Dun yang akan ditandingi AMANAH. Ia memudahkan kerja kita (PH) bersama, sekiranya dapat dikekalkan oleh jawatankuasa pengagihan kerusi.

“Ini kerana kerusi AMANAH akan berbincang dengan Bersatu. Kita harap kerusi PKR juga boleh diberi kepada Bersatu,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata walaupun agihan bilangan kerusi Dun itu sudah jelas seperti di pohon oleh setiap parti gabungan, ia masih lagi belum dimuktamadkan oleh Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

“Dengan adanya agihan yang jelas ini, nampaknya boleh diselesaikan dan dimuktamadkan oleh pimpinan PH Selangor, selagi belum pilihan raya perkara ini akan dibincangkan.

“Kita harap kekal dengan angka itu (13) supaya jentera pilihan raya di Selangor ini bertambah baik. Jentera pilihan raya AMANAH begitu baik di seluruh negeri Selangor ini.

“Kita sedia berbincang,” ujarnya.

Pertikaian mengenai pembahagian kerusi PH Selangor ini berlaku selepas Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Majlis Presiden PH akan menubuhkan Jawatankuasa Khas selepas rundingan kerusi PH Selangor menemui jalan buntu kerana perbezaan pandangan antara PKR dan tiga lagi komponen AMANAH,DAP dan Bersatu.

Pada Khamis lalu Pengerusi Pilihan Raya Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap negeri perlu memuktamadkan agihan kerusi Dun selewatnya pada penghujung Februari ini.

Ini setelah tempoh akhir pada 31 Januari lalu masih terdapat beberapa negeri gagal menghantar senarai agihan kerusi Dun kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Ketika ini, Selangor mempunyai 56 kerusi Dun membabitkan , DAP (15), PKR (13), Pas (15), BN (12) dan Bebas (1).

Tiada ulasan: