Isnin, 15 Januari 2018

Tun M tolak tawaran Azmin tanding di Gombak

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SETIAWANGSA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.
 
Mantan perdana menteri itu menjelaskan beliau hanya mempertimbangkan untuk bertanding sama ada di Parlimen Langkawi, Kubang Pasu mahupun Putrajaya sahaja.
 
"Kita belum bincang tentang kerusi di mana. Bagi saya, pilihan saya ialah Langkawi ataupun Kubang Pasu ataupun Putrajaya. Saya belum terfikir tentang Gombak lagi. 
 
"Ya, terima kasih banyak-banyak. Saya sudah putuskan sama ada antara ketiga-tiga kerusi-kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi PPBM Bahagian Setiawangsa di sini malam tadi.
 
Maklum balas beliau merujuk kepada tawaran yang dibuat Azmin baru-baru ini, yang dilaporkan sebagai berkata Menteri Besar Selangor itu bersedia melepaskan kerusi Parlimen Gombak yang dipertahankannya sejak dua penggal lalu untuk ditandingi Dr Mahathir sekiranya dipersetujui PKR.
 
Di saat pakatan pembangkang itu sedang memuktamadkan soal pembahagian kerusi secara spesifik, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM sebelum ini berkali-kali menyatakan kesediaan untuk bertanding pada PRU14 membabitkan antara tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.
 
Dr Mahathir juga dinamakan sebagai calon perdana menteri sementara PH, yang bakal bergandingan dengan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya jika pakatan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Dalam pada itu beliau turut mengulas berkenaan pengisytiharan kira-kira 100 ahli PPBM Klang termasuk daripada sayap Pemudanya yang bertindak keluar parti dan menyertai Umno semalam.
 
Ujarnya, sokongan ahli PPBM tetap utuh biarpun terdapat segelintir yang bertindak 'menyeberang' parti.
 
"Mereka boleh tinggalkan parti. Tidak mengapa. Setakat 100 orang, tiada apa jika dibanding dengan ini, penuh. Mereka boleh tinggalkan. Mungkin mereka diberi sedikit 'insentif'. Jadi mereka boleh keluar.
 
"Orang tidak ada keinginan untuk berjuang menentang Najib tidak diperlukan disini," ujarnya ringkas.
 
Kesemua ahli PPBM yang bertindak keluar memberi alasan yang sama seperti sebelum ini, iaitu mendakwa hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti dan PH.
 
Pembantu Wakil Pendaftaran Keahlian PPBM Klang Mohd Hazwan Zulkifly mendakwa mereka, termasuk beberapa individu yang memegang jawatan Exco Pemuda, sudah muak dengan permainan politik pemimpin PPBM yang mementingkan diri dan kroni.
 
Polemik ahli hilang kepercayaan yang seterusnya memutuskan keluar PPBM sekali lagi kembali hangat meskipun baru sahaja mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya bulan lalu.
 
 

Tiada ulasan: